26.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Remaja guna alasan penat, dicekup berkhalwat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ALASAN penat bermain futsal yang diberi seorang remaja tidak memberi apa-apa makna buat penguatkuasa apabila dia dan pasangan dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di Bukit Beruang, Melaka pada awal pagi Rabu.

Perbuatan pasangan itu masing-masing berusia 19 tahun dapat dihidu Jabatan Agama Islam (JAIM) yang melakukan operasi di hotel tersebut pada pukul 12.30 pagi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan remaja terbabit gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, remaja lelaki terbabit tidak berbaju manakala teman wanitanya mengenakan baju tidur selain mereka mengaku menginap bersama untuk berehat.

“Lelaki itu berikan alasan penat bermain futsal sambil menemani teman wanitanya selesaikan tugasan belajar.

“Namun pemeriksaan mendapati tiada pakaian sukan ditemui dan kedua-dua mereka kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Sinar Harian.

Advertisements

Sementara itu, Che Sukri berkata, dalam serbuan lain di sebuah hotel bajet di Bachang, pihaknya menahan satu lagi pasangan kekasih iaitu lelaki berusia 25 tahun dengan kekasihnya berusia 22 tahun.

Menurutnya, pasangan terbabit ditahan ketika operasi yang dijalankan penguat kuasa JAIM pada pukul 2.45 pagi.

“Mereka juga memberi alasan berehat di hotel kerana penat.

“Sedangkan lelaki terbabit hanya tinggal di kawasan Cheng manakala teman wanitanya menetap di Jasin,” kata beliau.

Ujar beliau, kedua-dua pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.

“Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan