27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PM arah segerakan siasatan dakwaan salah laku Tommy Thomas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan siasatan lanjut dilaksanakan segera terhadap kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Perdana Menteri berkata, pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness, sudah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan yang dibuat, pasukan itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama.

Isu-isu tersebut ialah dakwaan ke atas badan Kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional serta kenyataan berbaur hasutan.

“Pasukan petugas khas seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan supaya siasatan lanjut segera dilaksanakan mengikut Seksyen 124(1) & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, laporan itu disediakan oleh pasukan berkenaan dalam tempoh sembilan bulan bermula Disember 2021 sehingga Ogos lalu.

“Ia memperincikan setiap dakwaan yang disebut oleh Thomas dalam bukunya itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, menggesa supaya hasil siasatan ke atas buku memoir itu wajar didedahkan segera oleh kerajaan.

Buku bertajuk yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan