24.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 13, 2024

Bajet 2023: MASA syor fokus konsolidasi fiskal, perkukuh PMKS

Bajet 2023 juga perlu memberi penekanan terhadap pemberian insentif transformasi digital kepada PMKS.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) mengesyorkan agar kerajaan meneliti dua bidang fokus khusus dalam Bajet 2023 iaitu konsolidasi fiskal dan memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd Amin berkata, Malaysia memerlukan kedudukan fiskal yang lebih kukuh dengan mengambil kira ketidaktentuan pasaran ekonomi global.

Menurut beliau, perbelanjaan operasi Malaysia terdiri daripada emolumen merangkumi hampir 37 peratus, manakala caj persaraan sebanyak 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Dalam hal ini, langkah utama yang wajar dipertimbangkan adalah mengurangkan perbelanjaan kerajaan serta pendekatan alternatif bagi menguruskan aliran tunai secara sistematik serta mengurangkan bebanan perbelanjaan lebihan terhadap projek yang kurang memanfaatkan rakyat.

“Kerajaan juga perlu merangka strategi penjanaan pendapatan yang baharu dengan menumpukan kepada peningkatan produktiviti nasional.

“Mengambil kira nilai percukaian meliputi hampir 73.2 peratus daripada jumlah hasil pendapatan, sumber pendapatan baharu harus diteroka termasuk memanfaatkan potensi bidang ekonomi digital dan automasi dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Azril lagi, sebagai pendekatan jangka pendek, sebuah mekanisme percukaian iaitu melebarkan jurang cukai bagi T5 dan T10 dalam kalangan syarikat atau individu berpendapatan tinggi harus dilaksanakan.

Menurut beliau, kerajaan wajar memanfaatkan peluang ini untuk menjana semula cukai yang hilang akibat pendapatan yang tidak dilaporkan.

“Bagi penyelesaian tempoh jangka panjang, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dari segi reformasi penjanaan pendapatan serta mengharmonikan dasar fiskal demi memastikan konsolidasi kewangan secara lebih teratur.

“Selain itu, sektor PMKS juga perlu diberi keutamaan yang bukan sahaja meliputi 97.4 peratus daripada jumlah pertubuhan di Malaysia pada 2021, tetapi juga menyumbang 37.4 peratus daripada KDNK.

Menurutnya, sektor PKMS telah menjadi tunjang ekonomi negara termasuk memberi sumbangan sebanyak 11.7 peratus kepada eksport dan 47.8 peratus dalam sektor pekerjaan.

“Tidak dinafikan, PMKS merupakan antara segmen yang paling terkesan akibat Covid-19. Banyak perniagaan kecil dan sederhana masih berdepan situasi mencabar dalam fasa pemulihan pasca pandemik di sebalik tekanan ekonomi global seperti peningkatan inflasi, kenaikan kadar faedah, penyusutan nilai ringgit dan kekurangan pekerja asing.

Malah menurut beliau, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali turut menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara.

Advertisements

“Justeru, isu yang dihadapi oleh sektor PMKS perlu ditangani segera dan secara tuntas dalam Bajet 2023, melalui penyelesaian jangka pendek serta panjang yang berimpak tinggi demi menjamin kelangsungan PMKS.

“Institusi perbankan harus membenarkan kelonggaran dari segi pembayaran balik serta penstrukturan semula pinjaman.

Dengan mengambil kira syor yang dikemukakan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) menurut beliau, moratorium yang spesifik perlu disediakan kepada para peniaga yang terkesan pasca Covid-19.

“Pada masa sama, proses pengambilan pekerja asing juga harus dipercepatkan melalui penggunaan teknologi dengan memperkukuh aspek digitalisasi.

“Koordinasi serta pemantauan antara agensi dan kementerian berkaitan adalah penting dalam menghadapi sebarang situasi permintaan pasaran tenaga buruh asing supaya proses pengambilan tenaga buruh asing adalah lebih cekap dan telus,” katanya.

Ujarnya lagi, bajet 2023 juga perlu memberi penekanan terhadap pemberian insentif transformasi digital kepada PMKS.

“Pendekatan yang diambil oleh negara Jepun, Korea Selatan dan Thailand boleh dijadikan sebagai penanda aras ke arah mencapai negara yang berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Bagi membina PMKS yang berdaya saing dan kalis cabaran, penstrukturan semula perniagaan dan transformasi digital adalah penting.

“Ini termasuk pembangunan aplikasi teknologi digital seperti pembayaran maya, e-dagang, aplikasi berasaskan awan dalam kalangan PMKS yang perlu diteroka secara menyeluruh oleh agensi dan kementerian berkaitan,” katanya.

Justeru, MASA menurutnya berharap supaya syor dan cadangan di atas dapat diteliti serta diperhalusi oleh Kerajaan dan diterjemahkan ke dalam polisi dan pelan strategik kerajaan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) demi memastikan pengagihan ekonomi yang mampan dan inklusif di setiap peringkat.

Untuk rekod, sehingga Jun 2022, hutang negara dilaporkan mencecah RM1.045 trilion, manakala pembayaran perkhidmatan hutang Kerajaan Persekutuan pula mencecah RM43.1 bilion, atau bersamaan 18.4 peratus daripada hasil pendapatan negara.

Dalam pada itu, sebanyak RM19.8 bilion telah dibelanjakan untuk pembayaran semula kadar faedah hutang sedia ada menjelang akhir Jun 2022.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan