33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pkharuddin dilantik Ketua Pengarah Pendidikan baharu

Pkharuddin menggantikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid yang menamatkan tugasnya selepas dilantik ke jawatan itu pada 22 Jun tahun lalu.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Pkharuddin Ghazali telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa sejak 23 September lalu.

Pengumuman pelantikan Ketua Pengarah Pendidikan Ke-19 itu dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini.

KPM berkata, Pkharuddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

“Beliau telah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1 Ogos 1989 sebagai guru di Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan.

“Dalam tempoh 33 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM,” kata kenyataan itu hari ini.

Pkharuddin menggantikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid yang menamatkan tugasnya selepas dilantik ke jawatan itu pada 22 Jun tahun lalu.

Antara jawatan yang pernah disandang Pkharuddin ialah Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan serta Pengetua di SMK Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Menurutnya, jawatan lain yang pernah disandang di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan ialah Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Timbalan Pengarah serta Pengarah.

Beliau sebelum ini turut menyandang jawatan Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum).

“KPM yakin beliau dapat menerajui perkhidmatan pendidikan serta meneruskan kesinambungan dalam memacu transformasi pendidikan dan meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi demi masa depan generasi pewaris negara.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Agong murka isu stoking tertera kalimah Allah

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di...

Lagi Artikel Berkaitan