29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PH tolak segerakan PRU kerana belum bersedia – Zahid

Ini berbeza dengan BN yang kini dalam keadaan bersiap-siaga menerusi pelancaran pelbagai jentera parti itu dan parti-parti komponen.

Mesti Baca

PAKATAN Harapan (PH) dan parti-parti bukan Barisan Nasional (BN) dikatakan menolak pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan segera kerana mereka belum bersedia berbanding BN yang kini dalam keadaan siap-siaga.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru mereka mahukan lebih banyak masa bagi membolehkan mereka menghasut rakyat agar menolak BN.

Beliau berkata, antara hasutan dibuat pembangkang kononnya mengadakan PRU-15 tahun ini akan terdedah kepada banjir.

“Mereka lupa bekas PM (Perdana Menteri) terakhir mereka (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 tak pula jadi isu besar.

“Terbaru tahun lepas PRN (Pilihan Raya Negeri) Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk,” kata beliau menerusi Facebook hari ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pembangkang sebenarnya bimbang mereka akan mengalami kekalahan kerana jelajah PH masih sekerat jalan dan hanya dijangka berakhir pada Februari depan.

Pada masa yang sama, kata beliau, pembangkang juga takut kerana kepercayaan rakyat terhadap PH telah hilang sejak Dr Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selain gagal melaksanakan manifesto mereka sendiri.

Advertisements

“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Zahid menegaskan, BN tidak akan memberi hayat politik terhadap PH dan musuh BN dengan memberikan kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN sehingga tahun depan.

Menurut beliau, ini berbeza dengan BN yang kini dalam keadaan bersiap-siaga menerusi pelancaran pelbagai jentera parti itu dan parti-parti komponen.

“Masa yang berbaki sebelum Parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya. Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi (Ramli), tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.

“Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata,” katanya.

Semasa pelancaran Jentera Pemuda BN di Kuala Lumpur pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi kenyataan bahawa PRU-15 akan diadakan selepas mengadakan perbincangan dengan Top 5 “sedikit masa lagi.”

Bagaimanapun, beliau yang juga Naib Presiden UMNO tidak menyatakan tarikh perbincangan tersebut sebaliknya hanya menggesa semua jentera parti bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan