32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Agong berkenan terima menghadap Presiden Singapura

Majlis menghadap itu adalah atas titah perkenan Seri Paduka Baginda yang kini berada di London untuk menghadiri pemakaman mendiang Ratu Elizabeth II

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura, Halimah Yacob di hotel penginapan Seri Paduka Baginda di London, semalam. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi selama 45 minit itu, kedua-dua pemimpin menyentuh berkenaan pengukuhan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sekian lama antara Malaysia dan Singapura.

“Majlis menghadap itu adalah atas titah perkenan Seri Paduka Baginda yang kini berada di London bersama Raja Permaisuri Agong untuk berangkat menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth II. 

“Seri Paduka Baginda dan Puan Yang Terutama Halimah Yacob turut menyentuh usaha-usaha kerjasama mendalam antara Malaysia dan Singapura dan pelaksanaan pelbagai skim perjalanan merentas sempadan. 

“Antaranya Skim Laluan Hijau Timbal Balik (Reciprocal Green Lane), Skim Perjalanan Lengkap Vaksin (Vaccinated Travel Lane) dan Skim Pengaturan Ulang Alik Berkala (Periodical Commuting Arrangement),” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Istana Negara. 

Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkenan menerima menghadap Presiden Singapura, Halimah Yacob di hotel penginapannya di London.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Singapura atas persilaan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong kepada Baginda untuk berangkat menghadiri Formula 1 Singapore Grand Prix 2022 yang akan berlangsung selama dua hari, bermula pada 1 Oktober ini. 

Baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dijadual berangkat melakukan Lawatan Negara ke Singapura selama tiga hari bermula 25 Oktober 2022. 

Lawatan Negara tiga hari ke Singapura ini telah dijadualkan bermula pada 19 September tetapi ditangguh susulan Lawatan Khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, bermula 16 hingga 21 September. 

“Pada jam 6 petang waktu tempatan hari ini (semalam), Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Resepsi Baginda Raja Britain, Baginda Raja Charles III di Buckingham Palace, London. 

“Ia diikuti keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ke Westminster Hall, London untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II,” kata kenyataan itu lagi. 

Sementara itu, Baginda dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Darussalam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada esok. – Edisi 9

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan