TINDAKAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menerusi platform media sosial merupakan satu sabotaj terhadap kerajaan campuran Keluarga Malaysia.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin sepatutnya tahu kenyataan negatifnya akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia.
Katanya, bagaimana pelabur asing boleh meyakini Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan apabila Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyatakan yang buruk tentang kerajaannya sendiri.
“Pengerusi PN seharusnya ‘cermin diri’ apabila menggambarkan Perdana Menteri sedia ada sebagai gagal sedangkan negara berdepan kegagalan teruk semasa beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.
“Seramai 10,317 individu diisytihar muflis mulai Mac 2020 dan sebanyak 37,415 perniagaan ‘gulung tikar’ berikutan terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau malam ini.
Ahmad Zahid berkata, proses pemulihan ekonomi negara pascapandemik malah berjalan pada kadar yang perlahan semasa negara mempunyai sebuah badan yang diketuai Muhyiddin selaku Perdana Menteri, untuk memulihkan negara.
Menurutnya, Malaysia juga tidak boleh meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan negara kerana kerosakan ekonomi telah pun bermula seawal mereka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 lalu.
“Ironinya, Pengerusi MPN merangkap Pengerusi PN juga merupakan sebahagian anggota Kabinet Kerajaan PH ketika itu. Apakah individu yang pernah gagal berkali-kali layak menuduh individu lain sebagai gagal jua?,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tindakan Muhyiddin itu juga membuktikan sebuah ketidakstabilan yang menyulitkan kerajaan untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.
Kata beliau, ketidakstabilan itu yang memperjudikan nasib serta masa depan rakyat dan negara ekoran tiada kebersamaan dalam kalangan pembuat dasar.
“Pentadbiran kerajaan saling tuduh menuduh memberi gambaran negatif kepada pelabur sekali gus menyukarkan usaha negara bangkit daripada kemusnahan pandemik.
“Justeru, rakyat seharusnya semakin boleh menilai tentang kebenaran yang dibangkitkan UMNO mengenai ketidakstabilan yang wajib dipulihkan,” katanya.
Zahid berkata, ia amat mustahak direalisasikan segera kerana sebuah kerajaan yang kukuh sangat diperlukan bagi mendepani risiko kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini, jelas beliau, tidak menolak kemungkinan kemelesetan ekonomi global akan berlaku pada tahun 2023.
“Prospek ekonomi global malah dilaporkan telah menjadi gelap dengan ketara sehingga mendorong unjuran pertumbuhan ekonomi global diturunkan pada 3.6 peratus.
“Dengan demikian Malaysia perlu berada pada kedudukan paling kukuh dan stabil termasuk dalam aspek tadbir urus bagi membentengi negara daripada risiko itu,” kata beliau.
Beliau menegaskan, kemelesetan ekonomi global jika terjadi dan gagal diuruskan dengan berkesan boleh mengundang implikasi besar kepada kemaslahatan rakyat keseluruhannya. – Edisi 9