27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

MKT UMNO putuskan PRU-15 mesti diadakan tahun ini

Semua jentera parti diarahkan memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran

Mesti Baca

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini memutuskan agar pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Berdasarkan keputusan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan mesyuarat itu berasaskan pendirian konsisten parti sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden, Datuk Mohamad Hasan dan Ismail Sabri turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

Ahmad berkata, sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU-15.

Keputusan MKT UMNO itu sememangnya sudah dijangka memandangkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menerima tekanan berterusan daripada pucuk pimpinan agar membubarkan Parlimen dengan segera.

Bagaimanapun, dengan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini serta musim Monsun Timur Laut yang dijangka melanda seluruh negara mulai November, ramai yang beranggapan PRU-15 tidak sesuai diadakan tahun ini.

Advertisements

Parti-parti pembangkang juga menolak pelaksanaan PRU-15 tahun ini — sesuatu yang janggal berlaku — dengan memberikan alasan pilihan raya tidak boleh diadakan ketika banjir melanda.

Isnin lalu, Perdana Menteri memberitahu, beliau belum mendapat ilham dalam membuat sebarang keputusan berkaitan tarikh pembubaran Parlimen biarpun spekulasi mengenai tarikh PRU-15 semakin kencang diperkatakan.

Ismail Sabri berkata, sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO pada 30 September ini (hari ini).

“Pada 30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya di New York, seperti dilapor media.

Sementara itu, Ahmad berkata, MKT UMNO menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, mesyuarat juga menggesa agar laporan pasukan petugas khas siasatan ke ata buku Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice In the Wilderness untuk segera didedahkan kepada umum.

“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009,” katanya.

Ahmad berkata, UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor pada 15 Mei lalu yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah serta kedaulatan negara.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan