MISI Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah untuk mengembalikan mandat rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu penting bagi membolehkan rakyat kembali memilih BN sebagai jenama parti politik sepanjang zaman.
“Lebih penting misi kita untuk segera mengembalikan mandat kepada rakyat pada PRU15 supaya mereka akan kembali memilih BN sebagai jenama parti politik yang akan terus diyakini sepanjang zaman,” katanya dalam Facebook, hari ini.
Dalam hantaran berkenaan, Ahmad Zahid turut berkongsi gambar kemeriahan sambutan Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, semalam.
“Gambar-gambar Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 10,000 peserta seluruh negara semalam.
“Semangat solidariti para pemuda yang datang dari segenap pelusuk negara dengan tekad yang sama untuk #BangkitKembali.
“Tahniah kepada (Ketua Pemuda BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi dan seluruh kepimpinannya atas kejayaan ini,” katanya.
Terdahulu, dalam Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, semalam,
Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa PRU-15 perlu diadakan segera dalam apa situasi sekalipun.
Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, perkara itu harus disegerakan demi kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Isyaratnya adalah jelas dan nyata. Kita tengah tunggu tarikh PRU, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir dan hujan lebat.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ Umno berhubung pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.
Ismail Sabri berkata, berdasarkan semangat dan sokongan Pemuda BN hari semalam, beliau akan berbincang dengan segera bersama Presiden dan Top Five.
-EDISI9