31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dr M, Muhyiddin ‘mengidam’ mahu kembali jadi PM – Zahid

Pengerusi Pejuang dan GTA itu harus muhasabah diri apabila mendakwa kerajaan campuran sedia ada tidak memiliki pakar yang dapat mengatasi masalah ekonomi.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KENYATAAN Tun Dr Mahathir Mohamad yang senada dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘menyerang’ kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan kedua-dua pemimpin itu mengidam mahu kembali menjadi Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-duanya dapat dilihat amat mengidam mahu kembali sebagai Perdana Menteri walaupun terbukti gagal selepas pernah diberi peluang sebelum ini.

“Mungkin terdesak gara-gara takutkan bayang-bayang sendiri kerana apa telah mereka lakukan terhadap lawan politik yang dikhuatiri boleh menggugat kepentingan mereka.

“Lagipun amat sukar untuk Malaysia mempercayai janji recycle Mahathir dia akan hanya jadi Perdana Menteri bagi tempoh yang singkat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“PRU-14 dia berjanji hanya jadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun sebelum menyerah jawatan kepada salah seorang sekutunya, namun semua tahu apa yang telah terjadi,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid berkata, negara menjadi kacau-bilau menyebabkan Barisan Nasional (BN) perlu masuk campur bagi memastikan kelangsungan pentadbiran melalui pembentukan kerajaan sementara.

“Nasib kerajaan dan rakyat di Malaysia ini bukanlah bahan ujikaji seperti yang dilakukan oleh mereka ketika memerintah sebelum ini.

“Justeru, Pengerusi Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) harus muhasabah diri apabila mendakwa kerajaan campuran sedia ada tidak memiliki pakar yang dapat mengatasi masalah ekonomi.

“Dengan hanya mengungkap zaman pentadbirannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun sedangkan landskap sosial dan ekonomi dunia telah jauh berubah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, saksikan apa yang berlaku kepada ekonomi negara selepas 9 Mei 2018 sepanjang Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir selaku Perdana Menteri Ketujuh.

“Selepas setahun PH memerintah kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi lebih rendah. Banyak perniagaan ditutup menyebabkan ramai hilang pekerjaaan.

“Dana-dana seperti Petronas, Khazanah Nasional dan Tabung Haji menyusut. Indeks Bursa pernah jatuh 300 mata ke bawah 1,600. Negara kembali bergantung terhadap rizab petroleum.

“Selain itu, aset strategik negara dijual untuk menampung perbelanjaan, kerajaan tidak mesra pembangunan infrastruktur, gagal menjaga hubungan diplomatik yang signifikan bagi ekonomi negara.

“Dasar ekonomi Malaysia yang progresif berubah menjadi regresif mengundur ke belakang. Bantuan kebajikan rakyat dikurangkan. Paling menyakitkan hati rakyat diminta berkorban dan ikat perut,” katanya.

Ujar Ahmad Zahid, kerajaan BN yang progresif berjaya meletakkan kadar hutang negara serendah 50.9 peratus berbanding KDNK pada Jun 2017 sedangkan zaman Mahathir pada 1980an pernah mencecah 103 peratus.

Katanya, agensi penarafan antarabangsa Flitch Rating, Standard & Poor dan Moody’s Investors Service meletakkan ekonomi Malaysia stabil dan berada di tahap yang baik dibawah kerajaan BN yang progresif.

“Dakwaan Mahathir juga ibarat menepuk air di dulang terpercik muka sendiri kerana anggota Kabinet mengendalikan portfolio berkaitan pemulihan ekonomi ketika ini bekas anggota Kabinetnya.

“Nama-nama yang sama berada dalam Kabinetnya semasa dia mengetuai kerajaan PH selama 22 bulan seperti Tan Sri Mahiaddin, Datuk Seri Mohamed Azmin, Datuk Seri Mustapa.

“Justeru, Mahathir dengan statusnya sebagai mantan PM Ke-7 yang gagal sama tidak layak seperti Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuat dakwaan seperti itu,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan