25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

29,423 tunggakan kes pusaka diselesaikan setakat Ogos

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 40 peratus atau 29,423 daripada 72,384 tunggakan kes pembahagian pusaka berjaya diselesaikan sejak awal tahun ini hingga Ogos lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, ia adalah hasil usaha berterusan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam menangani tunggakan kes pembahagian pusaka sehingga jumlahnya berkurangan kepada 42,961 kes.

Katanya, pencapaian positif itu juga susulan semakan semula langkah kawalan COVID-19 semasa fasa peralihan ke endemik dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 oleh kerajaan mulai April dan Mei lepas.

“Penempatan semula pegawai Unit Petugas Khas (UPK) Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang sebelum ini ditempatkan di pentadbiran tanah negeri ke Pejabat Unit Pembahagian Pusaka (UPP) di setiap negeri di Semenanjung Malaysia telah membantu meningkatkan kapasiti penyelesaian kes dalam jangka masa pendek.

“Penyelesaian tunggakan kes berjalan lancar dengan sokongan dan kerjasama berterusan daripada pihak-pihak berkuasa negeri,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Kelantan hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub yang mewakili Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, KeTSA juga berharap pengambilan 50 pegawai dan 50 pembantu tadbir secara kontrak mulai Jan 2023 kelak dapat menyelesaikan baki tunggakan secara tuntas dan segera.

“Tindakan ini juga supaya tunggakan kes dapat diselesaikan sebelum pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) dikuatkuasakan,” katanya.

Menurutnya, purata tahunan kes yang diterima pada waktu ini adalah 60,000 kes dengan Kedah mencatat angka tertinggi iaitu 13,000 kes.

Katanya, di Kelantan sahaja terdapat 7,570 kes pembahagian pusaka yang tertunggak setakat Ogos lepas dan diharap kes tunggakan ini dapat diselesaikan segera sebelum pindaan akta berkenaan dikuatkuasakan.

Beliau berkata, pihak JKPTG sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan cadangan pelantikan kakitangan tambahan secara kontrak selama tiga tahun tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

“Kakitangan tambahan yang dilantik secara kontrak ini akan ditempatkan di UPP negeri berdasarkan keperluan dan dijangka proses pengambilan selesai dibuat menjelang Disember ini dan tarikh lapor diri pada awal Januari 2023.

“KeTSA akan terus menerajui usaha bagi memastikan isu tunggakan pembahagian pusaka kecil diberi perhatian sewajarnya dalam memastikan suasana harmoni dapat diwujudkan dalam kalangan rakyat selaras dengan Nilai Kebersamaan dalam konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurutnya, JKPTG juga akan membuka klinik penyelesaian tunggakan pusaka bagi memberi peluang kepada pelanggan serta waris hadir mendapatkan khidmat nasihat mengenai isu harta pusaka yang dihadapi dan konsultasi berhubung tatacara permohonan pembahagian pusaka. – BERNAMA

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan