Saturday, June 13, 2026

Tiada unsur radiasi di lokasi penemuan serpihan roket China

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIADA sebarang radiasi radioaktif dikesan di lokasi penemuan objek dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China di Sepupok, Niah, Miri semalam.

Perkara itu disahkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) yang telah mengadakan pemeriksaan di lokasi terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.50 petang semalam meminta khidmat khas membantu LPTA membuat pemeriksaan di lokasi.

Menurutnya, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikerah ke lokasi untuk bersedia memberi sebarang khidmat bantuan jika diperlukan oleh pihak LPTA.

“Tiga pegawai LPTA Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tiba di lokasi penemuan objek itu kira-kira jam 5 petang.

“Selepas membuat pemeriksaan, pegawai LPTA memaklumkan tiada radiasi dikesan pada objek terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, pegawai LPTA kemudiannya mengambil objek terbabit untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, objek berukuran lima meter dipercayai serpihan roket berkenaan turut ditemukan penduduk di kawasan kebun kelapa sawit di Desa Pengadang, Balai Karangan, Kalimantan Barat, Indonesia yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kuching.

Difahamkan pasukan penyiasat dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) sudah membuat pemeriksaan di lokasi penemuan itu.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan serpihan roket itu terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi dan melintasi ruang udara Malaysia termasuk Sarawak.

-EDISI9

Related posts:

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan