PENCAPAIAN negara masuk ke fasa pemulihan daripada fasa pandemik Covid-19 merupakan satu bentuk ‘kemerdekaan’ yang perlu diraikan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nikmat kebebasan yang sudah mula dirasai hari ini pula perlu sentiasa disyukuri oleh rakyat.
Menurutnya, rakyat akhirnya semakin hampir untuk “memerdekakan” diri daripada dibelenggu pandemik berkenaan setelah diuji dengan cabaran yang amat getir sepanjang lebih dua tahun.
“Dalam kita melangkah dengan berani memasuki fasa pra endemik ini, marilah kita kenang sejenak perjalanan awal menempuh pandemik sehingga ke hari ini.
“Titipkan doa buat mereka yang tewas, dan mereka yang meratapi kehilangan,” katanya menerusi Warkah Merdeka 2022 Negaraku Malaysia menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga meminta rakyat agar bersatu hati dan menggembleng usaha memulihkan negara supaya kemakmuran dapat dikecapi bersama dan martabat bangsa terus dijulang tinggi.
Katanya, rakyat perlu berjanji kepada diri untuk tidak mempersiakan segala pengorbanan dan usaha sepanjang lebih dua tahun pandemik Covid-19.
“Lindungilah ibu pertiwi ini. Pastikan Malaysia kekal aman, makmur dan merdeka, kini dan selamanya.
“Saya berdoa semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama mengharungi apa sahaja cabaran mendatang dan merahmati serta melindungi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang diraikan setiap tahun dan membawa seribu satu pengertian buat rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, hari ini kita diberi kesempatan menyambut Hari Kebangsaan sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-65.
“Pengorbanan generasi pembina bangsa yang menuntut kemerdekaan harus dihayati dan diinsafi setiap masa dan tidak hanya sekadar menjadi bahan rujukan dokumentari dan teks buku sejarah untuk diulang kaji,” tambahnya.-Edisi 9