27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Bekas Panglima TLDM jawab tuduhan pelancaran LCS di Lumut 2017

Tradisi itu bukan pertama kali diadakan di Lumut pada tahun 2017, malah, menjadi amalan biasa di negara-negara lain.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menegaskan tuduhan kononnya pelancaran kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk menipu dan mengelirukan orang ramai adalah tidak benar.

Ahmad Kamarulzaman berkata, pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak sekian lama.

Menurutnya, tradisi itu bukan pertama kali diadakan di Lumut pada tahun 2017, malah, menjadi amalan biasa di negara-negara lain.

“Sebab itu, perkara ini juga disebut oleh Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat dalam sesi menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  pada 11 Disember 2021 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memetik semula penjelasan Azhar dalam sesi menghadap itu iaitu daripada segi tradisi, we call launching dengan naming berkenaan hanya melibatkan satu aktiviti tradisi yang melibatkan kapal-kapal perang sahaja.

Bahkan menurut Azhar lagi, untuk aktiviti launching dan naming itu, daripada segi tradisi dan praktis itu, memang ia dipraktikkan sebelum ini juga.

“Sebagai contoh praktis di negara lain, semasa pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk Kerajaan UAE di Perancis, kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkongsikan kenyataan berkenaan susulan visuals pelancaran kapal LCS di Lumut pada tahun 2017 menjadi perhatian semula sejak akhir-akhir ini.

“Saya sebagai Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia turut hadir di upacara tersebut. Maklum balas orang awam tentang di mana kapal, kenapa lancar kalau masih tidak siap?… ini saya boleh faham dan hormati.

“Cuma, apabila fitnah seperti ini diviralkan, saya terpanggil utk membetulkan persepsi negatif bagi melindungi maruah dan nama baik TLDM yang saya sayangi,” katanya.

Menurut beliau, menjadi satu perkara penting untuk beliau memaklumkan fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking.

Advertisements

“Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, tidak benar.

“Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk ‘mast’ yang yang dikhabarkan palsu,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua perkara berkenaan turut dijelaskan semasa sesi PAC sebelum ini.

“Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai,” katanya.

Pada 24 Ogos 2017, Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu hantaran dalam Facebook berkata, Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak telah mencemar duli menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Kombat Litoral 1 TLDM dan turut disaksikan Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

TLDM akan menerima 6 buah Kapal Kombat Litoral secara berperingkat melalui kontrak perolehan di antara Kerajaan Malaysia dan BNS. Upacara pada hari ini menandakan kejayaan projek Kapal Kapal Kombat Litoral Pertama oleh BNS untuk TLDM.

Upacara itu juga membuktikan kemampuan dan keupayaan industri pertahanan maritim tempatan dalam membina dan menyiapkan kapal perang yang serba canggih dan berteknologi tinggi. Ia menandakan Armada TLDM akan memiliki kapal tercanggih yang mempunyai keupayaan daya tempur serta pertahanan kapal empat dimensi.

Menarik di upacara ini adalah pelepasan kapal ke laut buat kali pertama setelah proses pembinaannya yang tidak sampai satu setengah tahun sejak majlis peletakan lunas kapal yang diadakan tahun lepas.

Kapal ini dinamakan Maharaja Lela sempena Dato’ Maharaja Lela yang mengetuai perjuangan penduduk tempatan menentang British di Perak.

Bagaimanapun, isu LCS berkenaan mula mencetuskan kontroversi apabila baru-baru ini dalam satu kenyataan PAC, kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) secara rundingan terus dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan