PARA pelajar sekolah dan kolej vokasional akan didedahkan dengan kursus-kursus berkaitan teknologi pertanian bagi melahirkan individu berkemahiran tinggi dalam bidang berkenaan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, hala tuju itu juga akan melibatkan guru-guru dan tenaga pengajar manakala modulnya pula akan dipertingkatkan menerusi kaedah pendigitalan.
Menurut beliau, sebelum ini kolej vokasional masih menggunakan pendekatan tradisional dan agenda pendigitalan pendidikan itu tidak dimasukkan secara menyeluruh dari konteks kokurikulum pelajar.
“Bermula daripada situ, peningkatan pendidikan pendigitalan dalam bidang pertanian dibuat dan kini lihat banyak kolej vokasional berkaitan pertanian mula menggunakan kaedah pendigitalan ini dalam mengeluarkan produk pertanian yang bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Wacana Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan: Eksplorasi Dunia Pertanian di MAEPS Serdang hari ini.
Radzi berkata, sebagai contoh Kolej Vokasional Pasir Puteh mengeluarkan golden melon yang ditanam menggunakan teknologi terkini manakala pembajaan dan penyiraman pula dibuat menerusi pegawalan secara digital dan boleh dipantau.
Beliau berkata, kaedah pendidikan pendigitalan itu ternyata telah berjaya menghasilkan produk pengeluaran yang sangat tinggi.
“Dengan adanya kerjasama dengan pihak swasta, ia mempunyai potensi besar di luar sana dan boleh dipasarkan sebagai produk premium.
“Apabila pendedahan ini sudah diperoleh di sekolah, para pelajar ini apabila tamat belajar mereka boleh menyertai bidang keusahawanan pertanian atau mampu bersaing di alam pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, KPM akan berusaha menyediakan kepakaran dalam bidang tersebut bagi membolehkan pelajar-pelajar dapat didedahkan dengan potensi tinggi dalam bidang tersebut.
“Sebenarnya bidang pertanian ini berpotensi menjana pendapatan lumayan dalam keusahawanan dan juga pekerjaan.
“Dedahkan anak-anak ini, walaupun di negara ini tahap penggunaan teknologi digital jauh kebelakang, namun KPM akan usahakan supaya anak-anak ini nampak.
“Ini antara perkara yang kena tekankan, bukan sekadar bercakap dan kena usahakan. Itu sebabnya KPM akan pastikan gambaran tentang bidang pertanian dapat diubah,” katanya.- Edisi 9