PENTERNAK ayam secara kecil dan sederhana dibenarkan menerima bayaran pendahuluan subsidi harga ayam sebagai satu daripada cara memastikan bekalan ayam terus stabil di pasaran.
Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata ia bertujuan mempermudah proses bayaran dan tuntutan subsidi harga ayam, yang membolehkan petani dan penternak menerima kemudahan itu tanpa banyak masalah.
“Mereka diberikan peluang bagi mendapatkan bayaran pendahuluan sebelum tuntutan penuh diperoleh,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi di Putrajaya hari ini.
Setakat ini, katanya, jumlah keseluruhan subsidi harga ayam yang diperuntukkan kerajaan sejak 5 Februari lalu adalah RM1.1 bilion.
Annuar berkata, berdasarkan laporan yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini, harga serta bekalan ayam di pasaran adalah stabil.
Beliau berkata, semakan yang dibuat pasukan penguat kuasa mengesahkan sememangnya ayam sedang dijual pada harga siling, malah terdapat penjual ayam yang berkeupayaan menjual dengan harga jauh lebih rendah dari harga siling, ada yang kurang daripada RM9 satu kilogram (kg).
Bermula 1 Julai lalu, kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 satu kg bagi Semenanjung Malaysia, manakala harga ayam di ladang ditetapkan pada RM6 sekilgram dan harga ayam di pihak pemborong pada RM8.10 sekilogam.
“Kita dapati struktur (harga) ini dapat dilaksana dengan baik dan diterima oleh semua pihak terbabit. Ini membolehkan bekalan dalam keadaan stabil,” katanya.
Annuar berkata, keseluruhan ekosistem berkaitan dengan pengeluaran ayam sedang diteliti dan pemantauan berterusan akan dilakukan untuk memastikan sistem bekalan dan ekosistem bekalan ayam adalah terkawal.
Beliau juga berkata, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah untuk memastikan bekalan ayam terus stabil di pasaran, termasuk mempermudah cara prosedur import (IP) ke atas empat komoditi, mempercepat proses keperluan lesen pengimportan dan penambahan abbatoir serta loji pemprosesan luar negara.
Beliau berkata, permohonan IP Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk empat komoditi iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan serta tumbuhan melalui penangguhan fi permit, dipermudahkan, serta ‘priority lane’ diwujudkan bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam kembali stabil.
“Proses keperluan lesen pengimportan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar dipercepatkan melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai lepas. Proses kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja berbanding 30 hingga 90 hari (sebelum ini),” katanya ini akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan. – BERNAMA