27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Najib sahkan lantik firma Zaid Ibrahim kendali kes rasuah SRC

Muhammad Shafee terus kekal sebagai peguam cara dan peguam dalam semua kes lain yang melibatkan Najib

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Mohd Najib Abdul Razak mengesahkan pelantikan Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguamcara untuk rayuan akhir beliau dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau telah memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes tersebut sejak 4 Julai 2018, dengan serta-merta semalam.

Bagaimanapun, Najib berkata, Shafee and Co. dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terus kekal sebagai peguam cara dan peguam dalam semua kes lain yang melibatkan beliau.

“Saya ingin menyatakan bahawa adalah tidak adil bagi media untuk membuat kesimpulan atau melaporkan bahawa Shafee dan Co telah ‘diusir’ atau ‘dibuang’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pertukaran peguam dibuat selepas Peguam Diraja (QC) Jonathan Laidlaw tidak diterima hadir untuk beliau dan selepas berunding dengan peguam di Singapura serta Peguam Kanan India mengenai perkara itu.

Beliau yakin pasukan baharu yang telah dihimpunkan akan membawa perspektif berbeza kepada pembelaannya dalam kes tersebut.

“Tuduhan percanggahan kepentingan adalah serius bagi hakim dan pihak yang berperkara,” katanya.

Zaid Ibrahim

Najib turut merakamkan ucapan terima kasih sokongan dan penghargaan kepada seluruh pasukan guamannya atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memastikan beliau diberi perbicaraan yang adil.

Bekas Perdana Menteri itu yakin sistem perundangan Malaysia dan proses perundangan akan membuktikan beliau tidak bersalah dan memberikan keadilan, yang semua rakyat Malaysia layak di sisi undang-undang.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan QC dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara, memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Shafee Abdullah

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu, bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini malah di negara Komanwel.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana. SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan Jho Low menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Rayuan akhir itu dijadualkan didengar selama 10 hari bermula pada 15 Ogos ini. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan