31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kerajaan sedia geran tahunan RM4 juta kepada MTUC

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bersetuju menyediakan geran tahunan sebanyak RM4 juta kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk melaksanakan program kesedaran dan latihan yang signifikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, geran tersebut diharap dapat mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif dan komprehensif kepada ahli-ahli kesatuan, gabungan serta pekerja Keluarga Malaysia yang lain.

Beliau berkata, melalui pelan pendidikan yang strategik, MTUC boleh terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pekerja dinamik.

“Negara memerlukan tenaga kerja yang proaktif dan fleksibel bagi menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah dan kompetitif.

“Peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling) merupakan kunci yang penting dalam memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berdaya saing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan MTUC Kali Ke-42 di Universiti Malaya hari ini.

Tambah beliau, sebagai badan induk yang memperjuangkan hak dan nasib pekerja, MTUC juga perlu prihatin terhadap keperluan ahli-ahli kesatuan khususnya kumpulan B40 dan miskin tegar.

“Pendekatan Keluarga Malaysia adalah memastikan tidak ada seorang pun ahli keluarga kita hidup melarat. Saya memahami keadaan ini kerana asal usul saya dikelilingi dengan kemiskinan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebagai usaha menambah nilai kepada ketelusan, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil MTUC sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Katanya, langkah ini bertujuan membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah.

“Menjadi harapan Kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

“Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga Kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara,”ujarnya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan