32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 31, 2023

Ikmal Hisham nafi beri G-Shock, payung program PN

Tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung di Pelancaran PN Negeri Kelantan tersebut.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz menafikan dakwaan memberikan jam tangan jenama G-Shock dan payung bagi pengunjung Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Kelantan baru-baru ini.

Ikmal Hisham yang juga Timbalan Menteri Pertahanan turut mencabar mana-mana pihak agar mengemukakan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan.

“Saya ingin menjelaskan laporan sebuah portal berita yang membangkitkan persoalan sama ada orang ramai yang menghadiri Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu lalu disebabkan pemberian jam tangan G-Shock dan payung atau penyokong tulen PM.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya pemberian jam tangan atau payung tersebut seperti mana didakwa.
Untuk makluman, seminggu sebelum acara tersebut, saya sudah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah kehadiran Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga:   Kes kusta di Malaysia meningkat tahun lepas

Ujar beliau lagi, pada hari berkenaan juga beliau mengumumkan sekali lagi majlis pelancaran tersebut dan terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang.

Bagaimanapun menurut beliau, orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang.

“Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana didakwa.

Baca juga:   Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha 10 Julai

“Saya percaya kehadiran mereka adalah bagi menghargai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terdapat hadiah cabutan bertuah memandangkan kebiasaan dalam banyak program melibatkan rakyat terdapat acara seumpama itu bagi memeriahkan majlis.

“Namun perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besarpun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir.

“Sehubungan itu saya mempelawa mana-mana pihak menganjurkan apa-apa majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan sama ada mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang.

Menurutnya, dia turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan G-Shock dan adalah tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung di Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Kelantan tersebut.

Baca juga:   Khairy runsing Kelantan paling rendah ambil dos penggalak

“Saya mencabar mereka yang membuat tuduhan mengemukakan bukti mana-mana individu yang menerima pemberian jam tangan atau payung
itu ketika hadir di majlis berkenaan,” katanya.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

3 lantikan baharu Ahli Lembaga Pengurusan MSN

MESYUARAT Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi penggal ke-23 yang diadakan semalam, telah membuat tiga lantikan baharu yang...

Lagi Artikel Berkaitan