29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

PUTRA mahu SPRM siasat 3 Ahli Parlimen disebut Zahid

Mesti Baca

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat dakwaan percakapan dalam mahkamah oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap tiga Ahli Parlimen yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa.

Ketua Pergerakan Wira PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan keterangan dengar cakap Zahid ketika bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, tiga bekas Ahli Parlimen UMNO terbabit telah melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada disiasat SPRM.

Menurut Nasrul, tiga nama tersebut adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

“Pendedahan terhadap ketiga-tiga nama tersebut adalah keterangan yang perlu dipertanggungjawabkan kerana disebut di dalam mahkamah.

“Pendedahan tentang dana atau peruntukan yang dinyatakan juga bernilai sehingga puluh jutaan ringgit dan wajar untuk turut disiasat sumbernya sama ada ia adalah dari UMNO atau dana kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPRM wajar menyiasat dakwaan yang dibuat Zahid kerana dikhuatiri tujuan dan tindakan penggunaan wang sebesar itu membawa impak buruk kerana pemimpin, mengajar amalan rasuah sehingga ke peringkat bawahan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Wira PUTRA menggesa SPRM segera melakukan siasatan secara telus.

“Bawa mereka ke muka pengadilan sekiranya benar terdapat unsur-unsur penyelewengan atau salah guna kuasa atas kepentingan peribadi,” katanya.

Semalam, Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tiga ahli Parlimen daripada UMNO melompat parti kerana mahu menyelamatkan diri daripada disiasat SPRM.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, tiga ahli parlimen yang memenangi PRU telah melompat parti dan telah menyertai Bersatu, seterusnya dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Zahid berkata, dalam pengetahuannya, ketiga-tiga ahli politik itu mempunyai beberapa kes yang akan disiasat oleh SPRM. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan