30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KPLB tingkatkan pengeluaran bekalan makanan negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEJUMLAH RM10 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dalam usaha meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar serta pengeluaran bekalan makanan untuk negara.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, konsep PPP di bawah agensi KPLB akan dikembangkan termasuk dalam meningkatkan pengeluaran makanan untuk negara.

“Pada masa kini, program PPP lebih bertumpu kepada pemberian bantuan mesin, peralatan, bahan mentah serta bimbingan bagi masyarakat B40 luar bandar menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan di bagi meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan.

“Kumpulan sasar adalah golongan berpendapatan rendah kategori B40 dan menetap di luar bandar.

“Kerajaan kini sedang giat dalam meningkatkan pengeluaran bekalan makanan bagi menampung jaminan makanan (food security) dalam negara.

“Justeru, PPP akan dijadikan mekanisme bagi memastikan masyarakat luar bandar turut menceburi bidang pertanian, perikanan dan penternakan untuk menambah pengeluaran makanan dalam negara,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika hadir pada Program Pendampingan dan Penyampaian WarungDesa@KPLB Daerah Kuala Muda.

Turut hadir pada program tersebut Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Md Shuhaime Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar Pengurusan KEDA, Afifah Omar.

Pada program tersebut, KPLB menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyerahkan Warung Desa@KPLB dan peralatan untuk perniagaan kepada 21 orang usahawan yang layak melibatkan peruntukan berjumlah RM 196,417.00.

Beliau menambah, pada masa kini program PPP lebih bertumpu kepada perniagaan secara kecil-kecilan seperti jualan makanan dan minuman serta perkhidmatan seperti jahitan, gunting rambut dan perusahaan spa dan kecantikan wanita.

“Bagi masyarakat luar bandar terutama B40 yang sedang melaksanakan bidang pertanian, perikanan dan perternakan, PPP ini dilihat mampu untuk meluaskan serta mengembangkan lagi aktiviti sedia ada ke arah penghasilan output dalam skala yang besar.

“Sebagai contoh menerusi PPP, penternak ayam boleh membesarkan lagi reban ternakan ayam bagi menambah kuantiti ayam sedia ada dan petani sayur-sayuran boleh menggunakan mesin dan peralatan yang lebih canggih untuk meningkatkan hasil sayur-sayuran seterusnya boleh dipasarkan kepada pihak FAMA atau dijual sendiri.

“KEDA sebagai sebuah agensi KPLB menerima peruntukan berjumlah RM 800,000.00 bagi program PPP akan terus memainkan peranannya merancang dan melaksanakan pembangunan bersepadu melalui pelbagai program komprehensif dalam membantu meningkatkan taraf hidup, kehidupan dan sosio ekonomi masyarakat luar bandar.

“Selain itu, agensi-agensi lain di bawah KPLB akan terus melihat pendekatan-pendekatan lain dalam memastikan masyarakat luar bandar terus dibela dan diberi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif, bantuan dan projek-projek berskala besar dan kecil khususnya infrastruktur, pendidikan dan keusahawanan di luar bandar,”katanya.

Dalam program tersebut, Abdul Rahman turut menyerahkan bakul makanan kepada sejumlah 96 orang penerima yang terdiri daripada penduduk Desa KEDA Tepi Sungai Daerah Kuala Muda bagi membantu meringankan beban KIR yang berada dalam penempatan desa KEDA.-Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan