27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Biar kekal hukuman gantung sampai mati – Ayob Khan

Tindakan menghapuskan hukuman mati mandatori berkenaan seolah-olah merupakan tindakan kebelakang dan bukannya ke hadapan dalam menangani masalah dadah di negara ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay secara peribadinya berharap agar hukuman gantung sampai mati khususnya bagi kesalahan dadah dikekalkan.

Menurut beliau, pindaan pada 15 Mac 2018 iaitu budi bicara hakim untuk menentukan sama ada mahu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ataupun hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 perlu dikekalkan bagi memberi ketakutan serta kegerunan kepada individu untuk membuat kesalahan di negara ini.

Malah ujarnya, tindakan menghapuskan hukuman mati mandatori berkenaan seolah-olah merupakan tindakan kebelakang dan bukannya ke hadapan dalam menangani masalah dadah di negara ini.

“Kita menghadapi masalah yang masih lagi serius, kita nak kendurkan lagi tindakan penguatkuasaan kita, tindakan undang-undang.

“Saya rasa itu satu tindakan kebelakang, mungkin bagi sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) yang sering bercakap mengenai hak asisi manusia merasa kemenangan,” katanya dalam satu Temu bual Eksklusif Malaysia Gazette malam ini.

Dengan mengambil contoh negara jiran Singapura, Ayob Khan menyatakan hukuman gantung sampai mati itu juga akan menimbulkan ketakutan serta kegerunan kepada orang-orang yang bakal membuat jenayah berkenaan.

“Macam Singapura lah, saya yakin orang takut… dia (Singapura) tak kan tolak ansur… masuk (dadah) memang gantung hukum dia… kita ni biarlah kekal macam tu,” katanya dalam satu Temu bual Eksklusif Malaysia Gazette malam ini.

“Impak dia besar… Walau bagaimanapun, kita serahkan kepada budi bicara kerajaan… bagi pandangan kita biarlah kekal,” katanya.

Tambah beliau lagi, bisnes pengedaran dadah mendatangkan hasil yang sangat lumayan.

“Walaupun terdapat undang-undang, ada orang yang tamak akan terus menjalankan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah disebabkan hasil tinggi serta sanggup mengambil risiko,” katanya.

Malah, ujar beliau lagi walaupun ditangkap, akan ada lagi barisan pelapis yang akan menjadi pengganti disebabkan rangkaian sedia ada.

“Tak kan habis tapi apa yang kita buat ialah teruskan operasi bagi mengurangkan aktiviti ini dan dalam masa yang sama, kita tak boleh mengambil tindakan melonggarkan undang-undang yang ada untuk menghapuskan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Malah menurutnya, apa yang dibimbangi ialah yang akan menanggung risikonya adalah rakyat.

“Macam saya katakan tadi, sekali dia boleh bawa masuk 10 kilogram dadah dengan sekali transaksi ratusan ribu… orang yang gelap hati akan terlibat,” katanya.

Ujar Ayub Khan lagi, undang-undang sedia ada di negara ini bagi membanteras dadah sudah pun memadai, namun memerlukan penguatkuasan dan perlaksanaan yang lebih menyeluruh.

“Mungkin perlu ada pindaan… heroin setakat ini 15 gram akan dikenakan hukuman gantung sampai mati… syabu dan estacy 50 gram baru dikenakan tindakan yang sama.

“Kita ada buat cadangan untuk syabu dan estacy diturunkan ke 15 gram untuk  dikenakan hukuman gantung, tapi perkara ini masih dalam proses pindaan,” katanya.

Menurutnya, apa yang membimbangkan kini ialah trend penggunaan syabu seperti laporan Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) berkenaan satu bilion pil methamphetamine (syabu) dirampas di rantau Asia Tenggara ini.

“Jadi benda-benda ni kena pinda, macam Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, kita kena kaji pinda ikut kesesuaian masa kini. Kalau kita tak pinda, undang-undang tak relevan lagi.

“Kalau dulu bermula dengan candu, lepas tu ganja, lepas tu datanglah dadah sintetik, kita kena perkemaskan lagi undang-undang dan tidak boleh beranggapan ancaman dulu dan kini sama,” katanya.

Malah menurutnya, pihaknya juga sudah mengenalpasti terdapat 900 dadah sintetik baharu NPS namun hanya 66 jenis sahaja yang sudah disenaraikan sebagai dadah.

“Ini yang kita nak pastikan untuk dimasukkan dalam senarai dadah supaya individu yang kita tangkap dapat diambil tindakan,” tegasnya.

-EDISI9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan