25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Berpecahkah UMNO kerana pendedahan Tajuddin?

UMNO telah membuktikan bahawa parti itu kekal utuh biarpun ribut taufan melanda dan menggoncang pucuk pimpinan

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

KELMARIN Tajuddin Rahman pecahkan segala rahsia yang bukanlah rahsia sangat bahawa memang ada usaha oleh Zahid Hamidi nak naikkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Katanya, Presiden UMNO itu dikatakan ada meminta (tapi bukan paksa) ahli-ahli Parlimen parti itu menandatangani surat akuan (SD) bagi menyokong Anwar sebagai PM untuk diserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Semua ini berlaku sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020. Kira kisah lamalah…

Sebenarnya tindakan Tajuddin mendedahkan “pekung” Zahid sememangnya sudah dijangka selepas dia dipecat (kata Puad Zarkashi, bukan kena pecat tapi digugurkan — sama saja, cuma istilah berbeza) oleh Zahid sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Cerita yang dijaja oleh Tajuddin sama seperti pernah dijaja oleh Annuar Musa sebelum ini. Kisah bagaimana Zahid berusaha untuk menaikkan Anwar bagi menumbangkan Muhyiddin Yassin ketika itu.

Namun segala usaha itu gagal apabila Anwar tidak mendapat sokongan mencukupi untuk ditabal sebagai PM. Ekoran itu Zahid mengajak sebahagian Ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan berjaya.

Zahid menjangkakan apabila Muhyiddin berjaya ditumbangkan beliau akan diberi tempat untuk menjadi PM, namun terjadi sebaliknya apabila Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO pula yang mengangkat sumpah.

Salah seorang perwakilan Wanita UMNO mengajak Ismail Sabri Yaakob berswafoto sempena PAU 2021 di WTC Kuala Lumpur hari ini.

Itulah senario ringkas yang aku faham berhubung salah satu babak drama politik di tanah air (yang tak pernah berakhir sejak sekian lama, lebih lama daripada drama bersiri TV The Sullivan zaman kanak-kanak dahulu).

Persoalannya, apakah UMNO akan berpecah dan parti itu akan rosak binasa atau ia menjadi semakin kukuh dan kuat?

Ramai yang melihat UMNO kini berpecah kepada dua puak iaitu puak-puak yang menyokong Zahid dan juga puak yang mendukung Ismail Sabri dan pendedahan Tajuddin semalam menguatkan lagi perpecahan tersebut.

Namun daripada pengamatan aku yang bukan orang politik atau terlibat dengan mana-mana parti politik, apa yang dilihat “perpecahan” UMNO itu hanyalah melibatkan segelintir pemimpin senior sahaja. Realitinya UMNO di peringkat akar umbi masih kuat.

Apa yang berlaku hari ini tidak sama ketika Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim daripada UMNO sehingga berlaku gerakan reformasi besar-besaran di seluruh negara yang dibawa oleh Anwar dan konco-konconya.

Namun, walaupun UMNO ketika itu berpecah, parti itu masih mampu mempertahankan kerajaan apabila tetap memenangi PRU pada tahun 1999, dua tahun selepas gerakan reformasi bermula.

Advertisements

Senario yang berlaku hari ini hanyalah apabila ramai melihat Zahid cuba menjadi PM bagi membolehkan beliau menggugurkan kes-kes mahkamahnya setelah usaha mendapatkan pertolongan daripada Muhyiddin dan Ismail Sabri dilihat gagal.

Pada masa yang sama Ismail Sabri selaku PM pula menjadi orang nombor tiga dalam parti, dan seharusnya perlu mengikut kehendak Presiden.

Pun begitu walaupun hanya Naib Presiden atau orang nombor tiga dalam UMNO, tetapi dalam pentadbiran kerajaan dan negara beliau adalah seorang PM.

Seorang sumber memberitahu aku, Zahid pernah menyatakan kepada Ismail Sabri: “Mail, kau jaga negara tetapi parti aku jaga” menunjukkan bahawa wujud pengasingan kuasa antara PM dan Presiden UMNO.

Namun, Ismail Sabri adalah seorang pemimpin yang matang, lembut, orang parti tetapi mempunyai prinsip tersendiri.

Justeru, ketika bersama dalam parti beliau akan patuh dengan kehendak parti dan pucuk pimpinannya tetapi apabila berada di Putrajaya, Ismail Sabri akan meletakkan dirinya sebagai pemimpin tertinggi dalam negara.

Zahid amat sukar untuk mengarahkan Ismail Sabri membubarkan Parlimen biarpun pelbagai desakan dan tawaran dibuat termasuk menjanjikan ‘poster boy’ kepada beliau dalam PRU-15 nanti.

Namun, Ismail Sabri sedar bahawa naiknya beliau sebagai PM bukan hanya atas sokongan UMNO semata-mata tetapi juga beberapa parti lawan kepada UMNO terutama Bersatu dan Pas selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti Sabah.

Atas sebab itulah, dalam membuat keputusan terutama berkaitan pembubaran Parlimen, Ismail Sabri tidak boleh mengikut kehendak partinya sahaja, tetapi juga perlu mengambil hati parti-parti lain yang mendukungnya.

Lalu, jika ditanya apakah UMNO akan berpecah ekoran pendedahan Tajuddin? Bagi aku tidak! Sebabnya, kekuatan UMNO terletak pada akar umbi dan bukannya pucuk pimpinan parti.

UMNO telah membuktikan bahawa parti itu kekal utuh biarpun ribut taufan melanda dan menggoncang pucuk pimpinan, malah masih kekal tegap setelah dihentam badai kekalahan dalam PRU-14.

Inilah UMNO. Jadi jika ada riak dan gelombang di atas puncak, ia sama sekali tidak menjejaskan parti itu. Bagi akar umbi, mereka akan tetap teguh mempertahankan parti walau siapa sahaja yang berada di puncak – Zahid, Ismail Sabri atau sesiapa sahaja.

MTB – Penat dengan politik negara

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan