26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Pemimpin UMNO, DAP mengadap Agong redakan polemik agama

Mesti Baca

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti UMNO dan DAP di Istana Negara, hari ini.

Pemimpin yang hadir mengadap Seri Paduka Baginda ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dalam sesi mengadap itu, Sultan Ibrahim menitah semua pihak memberi tumpuan mengajak rakyat ke arah perpaduan dan bukannya perpecahan.

“Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim seperti dimuatkan dalam Facebook Seri Paduka Baginda hari ini.

Baginda berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman, bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi juga semua parti.

“Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang,” titah Seri Paduka Baginda.

Advertisements

Sultan Ibrahim bertitah, kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

Tegas Baginda, perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.

“Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Dr Akmal menerusi Facebooknya menjunjung titah Seri Paduka Baginda agar menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan.

“Didoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran. Daulat Tuanku,” katanya.

Polemik agama membahang selepas isu penjualan stoking tertera kalimah Allah didapati dijual di salah satu premis rangkaian kedai serbaneka KK Mart. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan