33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Utamakan keselamatan semasa di laut sempena Aidilfitri

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan soal keselamatan di laut.

Mereka juga digesa untuk sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, langkah itu perlu lebih-lebih lagi seluruh negara bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dan bercuti panjang dalam fasa peralihan monsun yang bermula pada 29 Mac lalu dan dijangka akan berterusan sehingga Mei nanti.

Beliau mengingatkan kepada mereka yang akan menggunakan perkhidmatan bot atau feri bagi tujuan balik kampung atau melancong ke pulau-pulau supaya memastikan jaket keselamatan disediakan oleh pengendali bot atau feri yang akan dinaiki .

Selain itu, katanya, pastikan tiada lebihan penumpang daripada kapasiti yang ditetapkan bagi mengelak daripada sebarang insiden berlaku ketika berada di laut.

“Berdasarkan rekod tahun 2023, Maritim Malaysia telah mencatatkan sebanyak 1,535 orang terlibat insiden di laut seluruh negara.

Advertisements

“Daripada jumlah berkenaan 1,401 berjaya diselamatkan manakala 90 mangsa lain dilaporkan meninggal dunia dan 44 mangsa lagi masih diklasifikasikan hilang.

“Manakala bermula Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 107 mangsa berjaya diselamatkan, tujuh kematian telah direkodkan dan empat mangsa dikhuatiri masing hilang menjadikan jumlah keseluruhan mangsa insiden di laut adalah seramai 118 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Hamid berkata, bagi mengurangkan kadar kemalangan di laut, pihak Maritim Malaysia akan menggiatkan Preventive SAR (Pencegahan CARILAMAT) dengan membuat rondaan dan pemantauan di jeti-jeti sekitar pantai serta di perairan seluruh negara.

Katanya, ini bagi memberi peringatan serta kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di laut.

“Maritim Malaysia turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam yang merayakannya pada tahun ini

“Dengan pesanan supaya memastikan perayaan ini disambut dengan penuh gembira dan bukan tangisan kehilangan ahli keluarga akibat kemalangan yang berlaku di laut,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Ramasamy, Fadhil amal kempen menyesatkan – Puad Zarkashi

PRESIDEN Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhil Shaari dianggap mengamalkan kempen...

Lagi Artikel Berkaitan