29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ambil alih kerajaan, pulihkan negara perlu jadi misi utama BN

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

BARISAN Nasional (BN) perlu mengambil alih semula kerajaan dan menjadikan usaha memulihkan negara sebagai misi paling utama dalam mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Konvensyen BN sempena Ulang Tahun Ke-48 parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sejak pertukaran kerajaan pada 2018 lalu negara telah mengalami kemerosotan daripada segenap segi kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Dari semua segi, kita telah merosot, menyusut dan berundur ke belakang. Dan bila kita menerajui semula kerajaan waktu ini, tangan kita pula terhad dan terikat.

“Ini kerana, kita tidak mempunyai kuasa yang dominan. Kita terpaksa akur, dengan pelbagai kekangan politik dan persefahaman politik, dengan pelbagai sekutu dan seteru kita. Jika kita mahu bertindak sedikit agresif atau lain dari selera mereka , kita diancam dan diugut.

“Ini bukan satu situasi yang baik kepada BN dan Malaysia. Jadi, janganlah kita sesekali, kita turun ke medan pilihan raya, dengan nostalgia dan cita-cita kosong. Jika hanya ingin kuasa, itu bukan BN,” kata beliau.

Mohamad berkata, BN juga perlu mengambil alih semula pentadbiran negara bagi mengembalikan semula kestabilan politik di negara ini kerana kita telah terjerumus ke era 20 tahun ke belakang.

Selain itu, BN juga perlu mengambil alih semula Malaysia bagi mencipta masa depan untuk generasi akan datang.

“Mentadbir negara, bukan setakat menguruskannya, untuk kemandirian hari ini. Tetapi, ia juga tentang membina asas-asas kelangsungan hari esok.

“Kita hidup di zaman yang bukan lagi zaman kita. Jadi janganlah kita terus menghancurkan zaman ini dan meninggalkan Malaysia, dalam keadaan yang parah dan lelah, kepada generasi Malaysia yang akan datang,” katanya.

Sumber: UMNO Online

Untuk itu beliau telah menggariskan lima langkah yang perlu diambil oleh BN iaitu melalui idea, kesepakatan, politik moral, kepimpinan ‘intergenerational’ dan strategi yang tuntas.

“BN akan diukur dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Kita mesti ada idea, bagaimana kita akan menguruskan kerajaan. Dasar apa yang akan kita terokai dan kita tampilkan.

“Parti tanpa idea, adalah parti yang mati. Tiada siapa yang akan yakin dengan BN, jika ia gagal mengemukakan idea yang bernas untuk Malaysia,” kata beliau.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan, BN pelu kukuh dalam kesepakatannya dengan tidak boleh hanya tampil dengan logo BN, tetapi jiwa dan raga kita, dengan haluan masing-masing.

Katanya, BN perlu menghadapi pilihan raya akan datang sebagai Barisan Nasional dan bukan sekadar parti komponen BN.

“Kita mesti menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat. Bahawa BN adalah pasukan Malaysia. Bukan pasukan UMNO, MCA, MIC dan PBRS secara berasingan. Tonjolkan BN seluruhnya, sebagai sebuah pasukan terbaik, untuk masa depan Malaysia yang terbaik,” katanya.

Mohamad juga mahukan BN tampil sebagai parti politik yang berpegang teguh kepada moral kerana tanpanya BN sukar untuk memenangi PRU-15.

“Kita mesti menolak sang oportunis politik. Jangan beri ruang kepada pedagang politik. Sebaliknya, buka ruang, sokong dan angkat kepercayaan kepada calon yang berilmu, berakhlak, berprinsip dan memberikan jiwa nurani kepada negara dan bangsa,” katanya.

Dalam nada kesal, beliau berkata, BN dahulu mempunyai berbelas-belas parti komponen namun semuanya meninggalkan gabungan itu setelah BN tewas.

“Bila kita kalah, kita cuma tinggal berempat. Semua meninggalkan kita, kerana moral, perjuangan dan kesetiaan mereka telah ditafsir dan diubah-ubah mengikut selera dan perut yang tidak pernah kenyang.

“Walaupun kita hanya tinggal berempat, jika kita berpegang pada prinsip, pada politik bermoral, pada landasan dan falsafah yang berpandukan nilai, kita pasti akan memang,” katanya.

Beliau juga mahukan BN menampilkan pemimpin serta calon merentasi generasi dan terangkum.

Katanya, calon dan pemimpin yang diangkat untuk membawa panji-panji BN mestilah mewakili pelbagai generasi, latar belakang dan kepentingan yang inklusif.

Dan terakhir, kata beliau, BN perlu melawan dan memperbetulkan persepsi dengan melumpuhkannya melalui kenyataan yang benar dan sahih.

“Yakinlah, bahawa rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya lagi.

“Yang menjadi masalahnya sekarang adalah, apabila kita membiarkan sahaja, segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang, sampai kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, pendekatan tunggu dan lihat serta menjawab hanya apabila diserang mesti segera berakhir sebaliknya BN perlu aktif, proaktif dan giat membongkar betapa gagalnya PH dan PN selama ini. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan