28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

WHA sebulat suara sokong sektor kesihatan di Palestin – Khairy

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERHIMPUNAN Kesihatan Sedunia (WHA) telah sebulat suara untuk menyokong sektor kesihatan di Wilayah Palestin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, keputusan berkenaan termasuklah bagi program pembinaan kapasiti, menaiktaraf infrastruktur asas perubatan, sumber manusia serta memastikan perkhidmatan kesihatan, alatan perubatan dan ubat-ubatan adalah mudah, murah dan berkualiti.

“Alhamdulillah, semasa saya mempengerusikan sesi hari ini, WHA telah sebulat suara menerima keputusan mengenai Keadaan Kesihatan di Wilayah Palestin yang diduduki (occupied Palestinian territory) termasuk Baitulmaqdis timur & di Golan, Syria yang diduduki.

“Selain itu, resolusi yang dicapai juga menggesa perlindungan ke atas populasi yang tercedera dan sedang menerima rawatan, semua pekerja kesihatan dan sukarelawan kemanusiaan termasuklah fasiliti, peralatan dan kelengkapan perubatan yang digunakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Selasa lalu, Khairy ketika mengetengahkan kenyataan Malaysia di WHA ke-75 dengan memberi penekanan solidariti bersama Palestin.

Menurut beliau, kesan peperangan terhadap kesihatan manusia bukan baru sahaja berlaku dan bukan hanya terkesan di tempat yang menjadi perhatian dunia ketika ini, sebaliknya ia telah lama berlarutan di sesetengah tempat termasuklah di Palestin yang mana sehingga kini masih terus dicengkam dan ditekan.

“Dalam Kenyataan Negara yang saya sampaikan di WHA ke-75, Malaysia telah menegaskan bahawa apa-apa pindaan ke atas International Health Regulations (Peraturan Kesihatan Antarabangsa) hendaklah menghormati dasar kesaksamaan, kebertanggungjawapan dan ketelusan serta proses kedaulatan setiap negara anggota.

“Semasa intervensi saya dalam sesi pada sebelah pagi, saya turut mengutarakan kebimbangan Malaysia terhadap beberapa cadangan pindaan ke atas IHR ini.

Menurutnya, buat masa ini, Kerajaan masih belum membuat apa-apa keputusan berkenaan kedudukan Malaysia terhadap pindaan ini.

“Segala keputusan yang akan dibuat Kerajaan nanti akan terlebih dahulu mengambil kira segala kepentingan termasuklah dari sudut perundangan dan kedaulatan negara.

Untuk rekod, Khairy secara rasmi dilantik sebagai salah seorang Naib Presiden WHA ke-75 yang berlangsung di Geneva, Switzerland sejak Ahad lalu.

Kali terakhir Malaysia menyandang jawatan itu adalah pada tahun 2016 yang diwakili oleh Menteri Kesihatan pada waktu itu, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan pada tahun 2004 yang diwakili oleh Tan Sri Dr Chua Soi Lek.

-EDISI9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan