25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tanpa ‘orang politik’ hampir semua kelab Liga M boleh terkubur

Mesti Baca

“JIKA tanpa bantuan atau dana daripada kerajaan apa akan jadi dengan 99 peratus kelab Liga Malaysia (Liga M)?”

Itulah persoalan yang dilontarkan oleh orang kuat juara Liga Amatur Terengganu 2019, Kerteh FC ketika mengulas mengenai penglibatan “orang politik” dalam kelab-kelab bola sepak di negara ini.

Syed Khairi Amier yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC berkata, ini kerana jumlah penajaan yang diterima kelab-kelab Liga M adalah antara RM3 juta hingga RM6 juta semusim.

Sedangkan, kata beliau, perbelanjaan bagi menguruskan sesebuah kelab Liga M adalah antara RM10 juta hingga RM30 juta semusim.

“Hak siaran yang dapat bagi kelab Liga Super adalah RM1.5 juta dan Liga Perdana pula RM500,000 setahun.

SYED KHAIRI AMIER

“Harga tiket masih antara RM10 hingga RM15 pada kebanyakan kelab serta jumlah kehadiran penonton yang rendah dalam sesetengah perlawanan,” katanya sambil mengambil contoh perlawanan Liga Perdana antara Terengganu FC II dan JDT II yang hanya menarik 800 orang kehadiran penonton.

Justeru jelas beliau, jika mereka merasakan “orang politik” tidak diperlukan dalam bola sepak adalah sedikit tersasar.

Sebagai contoh, tegas beliau, kerajaan Kedah boleh sahaja menarik dana yang diberikan kepada Kedah Darul Aman FC kerana bukan wajib bagi kerajaan negeri memberi bantuan kepada pasukan tersebut.

“Tetapi apa yang akan berlaku selepas itu? Ok kita boleh kata cari pembeli yang berminat, persoalannya siapa?

“Kalau ada individu yang berminat pun dibimbangi selepas beberapa tahun jika sudah tidak mampu menanggung kos ‘confirm’ (pasti) penyokong akan minta kerajaan campur tangan balik (sudah pun berlaku di Perak),” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Katanya, kenyataan beliau itu bukan untuk menyebelahi kerajaan tetapi realiti yang berlaku dalam industri bola sepak negara.

“Oh terlupa Manchester City, Paris St Germain (PSG) dan Newcastle juga merupakan kelab yang menerima ‘sumbangan’ dana kerajaan,” katanya.

Sejak beberapa hari ini heboh mengenai perang mulut antara Datuk Seri Muahmmad Sanusi Md Nor dan pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim setelah Menteri Besar Kedah itu mendakwa wujud ‘tokong’ dalam Liga M. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan