JADUAL padat menanti Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang akan menghadiri beberapa program bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022, Isnin ini.
Radzi berkata, sambutan yang kembali diadakan secara bersemuka selepas dua tahun akan berpusat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok.
“Menuju acara kemuncak Isnin ini, saya akan terlibat dalam beberapa program bermula sesi libat urus bersama guru-guru pagi ini, antara lain bagi berkongsi objektif dan matlamat di sebalik pengenalan konsep Sekolahku SEJAHTERA serta pengoperasian sekolah menuju peralihan fasa endemik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di UMK hari kini.
Radzi berkata, sebanyak tiga sesi libat urus akan dilangsungkan dalam tempoh tiga hari ini dengan topik perbincangan berlainan.
“Melalui sesi ini, guru-guru diberi peluang melontarkan pandangan masing-masing ke arah memperkasa bidang pendidikan.
“Selain libat urus, saya juga akan menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s; Kayuhan Ceria Hari Guru; merasmikan Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia; perlawanan bola sepak bersama warga pendidik sebelum ke acara kemuncak sambutan Hari Guru pada Isnin.
“Program sebegini diatur sebagai menghargai jasa dan pengorbanan insan mulia bergelar guru dalam membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi,” katanya.
Ujar beliau, semoga program ini berjalan lancar dan dapat mencapai aspirasi dan semangat di sebalik sambutan Hari Guru selain mengeratkan ukhuwah sesama keluarga besar pendidikan.- Edisi 9