28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pemandu treler lari, gilis penunggang motosikal

Usaha mengesan pemandu dan treler itu masih giat dijalankan sehingga kini.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis selepas digilis sebuah treler dalam kejadian langgar lari di Kilometer 3 Jalan Machang-Pasir Puteh, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.45 malam itu, mangsa, Ahmad Zarriq Ahmad Zulkhairee,24, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kemalangan yang berlaku membabitkan treler dan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati treler dipandu dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh dan apabila sampai di tempat kejadian, pemandu treler tersebut dipercayai hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave.

“Mangsa kemudiannya telah digilis dan diseret oleh treler serta disahkan maut di tempat kejadian.

“Manakala pemandu treler yang dipercayai langgar lari kerana meninggalkan tempat kejadian itu, giat dikesan sehingga kini,” katanya pada hari ini, lapor Sinar Harian.

Ujarnya, berdasarkan keterangan oleh saksi kemalangan mendapati jenis treler terlibat tidak mempunyai muatan namun tidak dapat dikenal pasti jenis kerana cuaca hujan ditambah kawasan kejadian yang gelap.

“Penunggang motosikal tersebut memakai topi keledar dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 25½ hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang selepas memancing di Pasir Puteh.

“Tempat kejadian adalah jalan dua lorong lurus dan rata serta dua hala dengan garisan tengah putus-putus tetapi tidak ada lampu jalan,” katanya.

Beliau berkata, hebahan dimaklumkan kepada Gerakan Machang untuk bantuan mengesan treler yang terlibat.

“Usaha mengesan pemandu dan treler itu masih giat dijalankan sehingga kini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan