30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

UKM buka cawangan pertama di Doha

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti awam (UA) pertama negara membuka cawangan di luar negara iaitu di Doha, Qatar, dengan pengambilan pelajar sulung pada Oktober 2022.

Kejayaan UKM mengembangkan sayap ke luar negara direalisasikan selepas menandatangani satu Memorandum Perjanjian dengan The Regional Group of Qatar, sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan di Qatar.

Majlis bersejarah ini disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Dalam ucapan beliau pada majlis berkenaan, Noraini berkata, pemeteraian perjanjian ini membuka lembaran baharu kepada institusi pengajian tinggi Malaysia untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dari segi penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, perundingan serta pembangunan komuniti, walaupun berdepan masa mencabar akibat wabak COVID-19.

”Saya gembira UKM telah menjadi penyumbang kepada pencapaian tersebut dan telah mengambil langkah seterusnya untuk meluaskan penglibatan pengantarabangsaannya dengan melebarkan sayapnya ke Qatar,”katanya.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Sheikh Abd Rahman bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani, Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar.

Sementara itu, Mohd Ekhwan dalam ucapannya berkata, pembukaan cawangan UKM di negara itu akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain dari penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk.

”UKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Sebagai sebuah universiti watan, UKM akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam merentasi sempadan dunia,”katanya.

Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir di Doha.

“The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Manakala UKM bertanggungjawab menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan,”katanya.-Bernama

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan