26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Mansuh import AP bahan makanan langkah tepat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LANGKAH pemansuhan kebenaran import (AP) untuk bahan makanan adalah bertepatan dengan hasrat menjamin kelangsungan bekalannya dan dijangka mencetuskan lambakan di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu akan memberi kelebihan kepada pengguna apabila bekalan mudah didapati berbanding keadaan semasa.

“Daya saing di pasaran membabitkan barangan keperluan asas akan lebih kompetitif dan diunjur bakal mencetuskan pengurangan harga mengikut kuantum tertentu, bergantung kepada aspek kualiti dan pembungkusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Nanta berkata, pemansuhan AP akan mengambil masa untuk memberi kesan positif kepada pengguna kerana bergantung kepada proses perolehan, pensijilan halal dan pemeriksaan kastam.

“Menyedari hakikat ini, usaha rentas kementerian akan diketengahkan, mencakupi beberapa aspek asas di bawah kawal selia kementerian. Intipatinya akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet esok,” katanya.

Sementara itu Nanta berkata, mesyuarat Kabinet yang diawalkan esok (23 Mei 2022) amat dialu-alukan kerana bakal menentukan langkah intervensi kerajaan dalam merungkai isu barangan keperluan harian, khususnya ayam.

Katanya, langkah intervensi itu harus berteraskan rentas kementerian dan ‘whole of government’ bagi memastikan sebarang usaha penyelesaian tidak dilaksanakan secara bersendirian dan tiada kesinambungan.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan AP bagi import sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta merta, bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Ia antaranya merangkumi komoditi agromakanan tertentu seperti kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan mesyuarat Kabinet yang diawalkan esok (Isnin) akan membincangkan isu peningkatan kos sara hidup dan penawaran bahan makanan.

Beliau (perdana menteri) berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), masing-masing akan membentangkan laporan berkaitan isu itu, termasuk perancangan jangka pendek dan panjang bagi mengatasinya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan