28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

KKM perluas penggunaan Paxlovid – Khairy

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedia mengagihkan Paxlovid iaitu ubat antiviral COVID-19 ke hospital swasta, klinik swasta dan hospital pengajar supaya penggunaannya dapat diperluaskan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana berdasarkan laporan diterima, pesakit yang diberikan ubat tersebut pulih dan sembuh daripada COVID-19 dan setakat ini, ia sangat berkesan.

“Sejak semalam, kita telah berikan seramai 405 pesakit COVID-19 dengan ubat Paxlovid.

“Justeru, saya telah minta kita tingkatkan lagi cuma, sekarang masih lagi tumpu kepada mereka yang berisiko tinggi tetapi kumpulan yang hendak diberi itu telah diperbesarkan,” katanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri KKM hari ini, lapor Utusan.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhan, kadar kebolehjangkitan RT menurun kepada 1.04, manakala kematian COVID-19 merekodkan satu angka walaupun terdapat peningkatan kemasukan ke hospital, namun, untuk kategori satu dan dua melibatkan warga emas dan individu dengan komorbid.

“Dari segi jangkitan, walaupun ada sedikit peningkatan, tetapi itu sesuatu yang telah dijangkakan sebab lebih banyak majlis dan pergerakan manusia, jadi kes akan meningkat.

“Bagaimanapun dari segi keseriusan kes tidaklah mengalami peningkatan mendadak untuk kemasukan hospital dan pengguna Unit Rawatan Rapi (ICU),”katanya.

Sementara itu, Khairy menjelaskan, KKM melihat kepada keseriusan kes dan bukan tertumpu kepada bilangan kes COVID-19 semata-mata.

“Kalau kes banyak tetapi keseriusan rendah, maksudnya tak ramai masuk hospital, tak ramai meninggal dunia dan tak ramai perlukan ICU. Maknanya kita boleh hidup dengan virus ini.

“Kita buat keputusan untuk hidup bersama COVID-19 dan kita kena terima hakikat akan berlaku gelombang jangkitan dari semasa ke semasa. Bilangan jangkitan akan pasang surut, dia akan naik sekejap dan turun sekejap, naik balik dan turun balik.

“Jadi, keadaan sekarang adalah begitu dan kalau sekiranya ada varian baharu yang cepat merebak dan mengganas dari segi kesannya, maka, kita kena mengambil tindakan berbeza.

“Setakat ini, gelombang bilangan kes pasang surut dan keseriusan rendah, maka, saya percaya boleh teruskan peralihan kita,”katanya.

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan