27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerajaan jamin tambang ECRL tidak membebankan pengguna

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN memberi jaminan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan ditetapkan kelak tidak akan membebankan pengguna.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, dakwaan Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail bahawa tambang ECRL sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding harga tiket penerbangan adalah bersifat spekulatif dan tidak berasas.

Beliau berkata, perbincangan berhubung perkara itu masih berjalan di peringkat kerajaan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Pantai Barat Semenanjung.

“Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung.

“Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kerajaan juga tidak berhasrat mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk memperoleh semua kos pembinaan ECRL memandangkan ia adalah projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.

Malah katanya, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia bakal beroperasi pada tahun 2027 kelak.

Beliau berkata, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum ia beroperasi selaras dengan keperluan APAD dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa APAD sebagai pengawal selia.

Semalam, media melaporkan Azan berkata, tambang ECRL dijangka mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi dan menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat untuk membayar tambang perkhidmatan projek prasarana pengangkutan itu yang dijangka siap pada penghujung 2026.

Kos Projek ECRL sepanjang 665 kilometer melibatkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.-Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan