31.4 C
Kuala Lumpur
Friday, July 1, 2022

Jumlah deposit TH melonjak kepada RM88 bilion

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022, mencerminkan keyakinan umat Islam yang semakin kuat terhadap institusi pengurusan haji negara.

Jumlah deposit TH meningkat hampir 16 peratus kepada RM88 bilion daripada RM75.92 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2020.

Menerusi Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24, TH menyasarkan jumlah deposit sebanyak RM100 bilion.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, peningkatan itu sesuatu yang agak ketara apabila deposit bersih bulanan juga mencecah lebih RM1 bilion.

“Untuk rekod, TH telah mencatatkan deposit bersih sebanyak RM1.1 bilion bagi April 2022, antara deposit bersih bulanan tertinggi setakat ini, menggambarkan keyakinan orang Islam di Malaysia terhadap TH,”katanya.

TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10 peratus bagi 2021 yang memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya melibatkan jumlah agihan RM2.46 bilion berbanding RM2.24 bilion yang diagih pada 2020, peningkatan sebanyak RM219 juta.

Beliau berkata, TH sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha menggalakkan seluruh umat Islam di Malaysia agar mempunyai akaun TH.

Setakat ini, kira-kira 55 peratus umat Islam di Malaysia masih belum mempunyai akaun TH, katanya.

Jumlah pendeposit TH hari ini kira-kira 8.5 juta manakala jumlah orang Islam di Malaysia mengikut perangkaan 2020 adalah lebih kurang 18.9 juta. Kira-kira 45 peratus rakyat Malaysia beragama Islam adalah pendeposit TH.

Baca juga:   Berlaku peningkatan mendadak kluster komuniti di Sarawak
Baca juga:   Momentum baik, 89.9 peratus keluar mengundi awal

“TH ditubuhkan untuk membantu dan menguruskan umat Islam Malaysia mengerjakan haji yang merupakan antara tuntutan dalam rukun Islam. Maka, penting untuk semua orang Islam Malaysia membuka akaun serta mendaftar haji (mereka yang mampu). Kuota (giliran) haji pula ditentukan oleh pihak lain,” katanya.

Mohamed Ameen berkata, deposit daripada simpanan akan dilaburkan untuk memperoleh keuntungan yang kemudiannya akan dizakatkan.

“Pada 2021, TH telah menyerahkan zakat berjumlah RM106 juta untuk golongan asnaf di seluruh negara.

“Sekiranya 55 peratus orang Islam Malaysia yang belum mempunyai akaun TH ini membuka akaun, saiz deposit akan lebih berkembang dan lebih banyak keuntungan boleh dijanakan untuk membantu lebih ramai asnaf di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, TH juga telah menambah baik perkhidmatan selari dengan kehendak pengguna, dengan pembukaan akaun boleh dilakukan secara dalam talian malah pemohon hanya perlu hadir di mana-mana cawangan TH di seluruh negara untuk pengesahan biometrik sahaja.

TH kini telah automasikan kesemua perkhidmatan yang ditawarkan di cawangan, dalam bentuk digital atau dalam talian,”katanya.

Justeru, beliau berkata, kesemua perkhidmatan yang boleh dilakukan di cawangan TH sama ada transaksi kewangan mahupun haji kini boleh dilakukan secara dalam talian.

“Tahun ini, julung kalinya, TH mengeluarkan tawaran haji secara dalam talian melalui aplikasi THiJARI dan jemaah boleh menjawab tawaran tersebut melalui aplikasi yang sama, tanpa perlu hadir ke cawangan untuk menyerahkan borang penerimaan tawaran.

Baca juga:   Amuk: MPV polis hangus dibakar

“Mereka hanya perlu datang ke cawangan untuk menyerahkan pasport dan buku rawatan,” katanya.

Beliau berkata, TH berwawasan perkhidmatan di TH harus menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya setara dengan industri.

“Pendeposit-pendeposit kami terdiri daripada pelbagai segmen. Justeru, apabila kita mahu memperkenalkan satu platform digital, ia haruslah menyeluruh untuk pelbagai segmen,” katanya.

Baca juga:   Muhyiddin lawat mangsa kemalangan tren LRT di HKL

“Platform digital THiJARI yang dilancarkan sejak Februari 2020 kini mencapai lebih 1.5 juta pengguna dan lebih 1.0 juta pengguna aplikasi telefon bimbit.

“Setiap hari kami menerima hampir 90,000 transaksi dalam talian. Angka ini menggambarkan penerimaan pendeposit terhadap usaha yang telah kami laksanakan,” katanya.

Mohamed Ameen berkata, sekiranya terdapat pendeposit yang kurang mahir dengan perkhidmatan dalam talian, mereka masih boleh menikmati semua perkhidmatan secara tradisional di kaunter cawangan-cawangan TH.

“Kami juga mempunyai satu lagi saluran di mana kami bekerjasama dengan rakan-rakan bank kami iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan yang terbaharu, AmBank,” katanya. – Bernama

Terkini

Rakyat pulang ke tanah air tidak perlu isi pas pengembara

RAKYAT Malaysia yang pulang ke negara ini tidak lagi perlu mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Pas Pengembara dalam aplikasi MySejahtera...

Lagi Artikel Berkaitan