25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Cukai LHDN RM1.7 bilion: Najib, anak dibenar merayu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin berjaya memperoleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung tunggakan cukai berjumlah lebih RM1.7 bilion Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan Najib dan Nazifuddin selaku pemohon selain mendengar hujah-hujah pihak yang terlibat dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

“Kami sebulat suara memutuskan bahawa keperluan di bawah Seksyen 96A dan B Akta Mahkamah Kehakiman 1964 telah dipenuhi,” ujar Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Turut bersidang bersama-sama ialah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Dalam prosiding hari ini turut hadir peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Mohd. Nazifuddin selaku pemohon manakala LHDN diwakili Timbalan Peguam Cara Hasil, Dr. Hazlina Hussain.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, pihak mahkamah selepas ini akan menetapkan tarikh untuk pengurusan kes pendengaran rayuan tersebut.

Najib dan Mohd. Nazifuddin memfailkan permohonan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan bmereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd. Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.

Pada 20 Oktober 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan Mohd. Nazifuddin untuk menangguhkan pembayaran tunggakan cukai pendapatan itu sementara menunggu rayuan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pembayaran ditangguhkan sementara.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan