25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

13,370 guru pengambilan ‘one-off’ sudah berada di sekolah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 13,370 pegawai pendidikan gred DG41 melalui pengambilan khas guru secara ‘one-off’ sudah ditempatkan di sekolah di seluruh negara setakat hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini menjadikan sebanyak 87 peratus daripada keperluan asal guru sudah diisi.

Menurutnya, keperluan sebenar adalah 18,702 orang.

“Sehingga 11 Mei 2022, kita telah tempatkan 13,370 orang guru di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Jadi saya ucapkan tahniah kepada yang berjaya dan buatlah yang terbaik dalam mendidik anak-anak didik di sekolah kalian,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook, hari ini.

Ujar Radzi lagi, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memutuskan pengambilan 2,400 orang guru kontrak perkhidmatan (COS) untuk mengisi keperluan berkenaan.

“Tidak semua baki (daripada jumlah keperluan guru) akan diisi oleh COS, hanya 2,400 tempat. Ini menjadikan secara keseluruhan, 87 peratus daripada keperluan asal seramai 18,702 orang akan dapat dipenuhi dengan pengambilan ini,” katanya.

Radzi berkata, baki guru yang diperlukan iaitu seramai 2,932 orang lagi diperuntukkan khusus untuk pengambilan guru bagi mata pelajaran yang termasuk dalam keperluan mendesak.

“Baki ini untuk mata pelajaran yang kita sukar mendapat bekalan daripada pasaran termasuk mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni Visual dan mata pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC), itu antaranya,” katanya.

Bagi pengambilan guru untuk keperluan khusus itu, Radzi berkata, tawaran kepada calon yang berjaya akan dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebelum 31 Mei ini.

Pada Jun tahun lalu, Mohd Radzi mengumumkan KPM akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’ untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.

Beliau dilaporkan berkata, KPM akan mengeluarkan iklan tawaran pada 7 Julai 2021 dan penempatan secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober iaitu pengambilan guru paling terbesar setakat ini.

Beliau dilaporkan berkata, KPM akan mengeluarkan iklan tawaran pada 7 Julai 2021 dan penempatan secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober iaitu pengambilan guru paling terbesar setakat ini.

-EDISI9

Terkini

Parlimen Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama sehingga 2025. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan