34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ruang dan peluang penambahbaikan ePemula

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MUHAMMAD NORIRFAN NORAZAM

BERMULA 11 April sehingga 1 Jun 2022 melalui inisiatif ePemula, dianggarkan sekitar 2 juta rakyat Malaysia bakal menerima kredit RM150 secare e-tunai.

Inisiatif ini semestinya akan dimanfaatkan oleh warga belia Malaysia khususnya mahasiswa-mahasiswi.

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh mereka untuk membelanjakan e-tunai tersebut antaranya adalah membeli buku rujukan, pakaian, dan keperluan lain.

Secara tidak langsung, hal ini dapat mencapai matlamat utama program ini iaitu untuk meringankan beban kewangan mereka.

ePemula 2022 merupakan kesinambungan initiatif eBelia yang telah dilaksanakan pada tahun 2021.

Sekilas pandang, masih wujud persamaan yang besar dan ketara antara ePemula dan eBelia jika dibuat perbandingan iaitu dari segi peruntukkan, permohonan initiaftif dan syarat kelayakan.

Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk ePemula dan eBelia melalui bajet tahunan serta masih mengekalkan syarat kelayakan inisiatif ini iaitu khusus kepada mahasiswa sepenuh masa.

Manakala, mereka boleh memohon untuk penebusan kredit e-tunai RM150 ini melalui aplikasi Big Pay, GrabPay, ShopeePay, dan Touch ‘n Go eWallet.

Cuma, terdapat beberapa perbezaan dari segi matlamat dan kaedah pelaksanaan inisiatif ini.

Seperti yang digariskan di dalam Bajet 2022, terdapat penambahan objektif inisiatif ini iaitu:

i) Menggalakkan pembelanjaan secara tanpa tunai di kalangan belia; dan

ii) Menggalakkan transaksi secara tanpa tunai oleh perniagaan fizikal.

Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa ePemula merupakan satu usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan perkhidmatan dompet digital (e-wallet) dalam negara kita iaitu selari dengan perkembangaan dunia digital semasa ke arah persekitaran tanpa tunai (cashless).

Justeru, warga belia khususnya mahasiswa iaitu sebagai pengguna ialah sasaran yang tepat dalam memupuk generasi ini ke arah mencapai matlamat tersebut.

Ini akan membiasakan diri mereka dengan perkhidmatan dompet digital dan normalisasi persekitaran tanpa tunai.

Tambahan pula, kredit e-tunai RM150 amat mudah untuk ditebus dan mereka tidak lagi perlu bersusah payah untuk beratur bagi mengeluarkan wang tunai di mesin ATM.

Hanya dengan beberapa langkah sahaja, mereka terus dapat menikmati dan membelanjakan e-tunai tersebut.

Secara tidak langsung, usaha kerajaan ini akan dapat merangsang pasaran ekonomi atau sektor perniagaan untuk turut beralih ke arah penggunaan perkhidmatan dompet digital dan tanpa tunai secara keseluruhan.

Namun begitu, ada sedikit perubahan dari segi pelaksanaan inisiatif ePemula pada tahun ini berbanding dengan inisiatif eBelia pada tahun sebelumnya.

Kerajaan telah menghadkan penggunaan ePemula iaitu terhad kepada perbelanjaan luar talian (offline) serta menarik semula manfaat perbelanjaan atas talian.

Erti kata lain, mereka hanya boleh menggunakan e-tunai RM150 untuk perbelanjaan secara fizikal di kedai-kedai yang menerima perkhidmatan dompet digital.

Semestinya, ini merupakan satu perkara yang sukar khususnya kepada mahasiswa yang tinggal di kawasan pedalaman dan pinggir bandar kerana kurang akses kepada perkhidmatan dompet digital.

Berbeza dengan eBelia di mana mereka boleh membelanjakan e-tunai tersebut secara atas talian dan bukan secara fisikal. Demikian itu, perbelanjaan e-tunai melalui inisiatif ePemula tidak luas seperti eBelia di mana mereka boleh menggunakannya untuk membayar tol, prabayar dan pascabayar.

Melalui pemerhatian di sosial media mengenai pelaksanaan ePemula ini, rata-rata pengguna yang terdiri daripada mahasiswa meluahkan rasa kecewa tentang pelaksanaan ePemula.

Mereka menjangkakan bahawa pelaksanaan ePemula ialah sama seperti initiatif eBelia pada tahun lepas dan kebanyakkan mereka tidak sabar untuk belanja secara atas talian.

Oleh itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatakuasa Tetap Pendidikan mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi inisiatif ini iaitu dari segi matlamat, peruntukan dan pelaksanaan.

Dari sudut matlamat, adalah wajar bagi pihak kerajaan untuk menyelaraskan objektif inisiatif ini iaitu merangkumi pembelanjaan dan transaksi atas talian, pembelanjaan dan transaksi secara tanpa tunai oleh perniagaan fizikal.

Seterusnya, cadangan penambahan peruntukkan bagi inisiatif ini untuk bajet tahun berikutnya.

Penulis berpendapat bahawa, lagi besar peruntukan maka lebih besar manfaat yang bakal dinikmati oleh belia serta merancakkan lagi perkembangan ekonomi negara.

Akhir sekali, cadangan pelaksanaan inisiatif ini iaitu secara atas talian dan fizikal tanpa tunai.

Kerajaan boleh memperuntukkan sebahagian jumlah e-tunai itu, hanya boleh dibelanjakan secara atas talian dan sebahagian lagi secara fizikal tanpa tunai.

Bukan itu sahaja, kerajaan boleh menambahkan cara penebusan e-tunai ini dengan perkhidmatan dompet digital lain yang biasa digunakan oleh rakyat Malaysia seperti aplikasi Boost.

Implikasinya, kerajaan berjaya mencapai matlamat iaitu untuk membudayakan pembelanjaan dan transaksi atas talian dan pembelanjaan dan transaksi secara tanpa tunai.

Kesimpulannya, ramai belia terutamanya mahasiswa telah menyambut baik inisiatif ePemula yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh kerajaan.

Tetapi, terdapat lebih banyak ruang dan peluang yang boleh kita manfaatkan demi keberhasilan yang lebih.

  • Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pendidikan Majlis Belia Malaysia (MBM). Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan