POLIS sedang mengenal pasti pemandu Perodua Viva yang didapati membiarkan kanak-kanak mengeluarkan separuh badan dan kepala mereka dalam keadaan kenderaan sedang bergerak di Persiaran Jengka, Subang Jaya, Selangor menerusi video yang tular, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku di Persiaran Jengka menghala ke Jalan SS18 berdekatan LRT SS18, Subang Jaya, namun tarikh serta masa kejadian tidak dikenal pasti.
“Satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah amat dialu-alukan melalui nombor telefon 03-56210343 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut.
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Semalam lalu, tular video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik pemilik akaun TikTok yang memaparkan kanak-kanak dibiarkan secara cuai di dalam sebuah kereta dengan mengeluarkan badan dan kepala di tingkap. – Edisi 9