25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tiada sekatan untuk pulang berhari raya di kampung – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menegaskan bahawa tiada sekatan dibuat terhadap orang ramai yang mahu pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, mereka khususnya umat Islam bebas untuk pulang meraikan hari bahagia tersebut bersama keluarga masing-masing yang sudah dua tahun tidak dirasai.

“Kali ini boleh balik, bebas dan jika ada pihak tertentu membangkitkan lagi persoalan betul ke tidak boleh balik (kampung), boleh balik tiada halangan.

“Kebebasan ini telah pun kita berikan dan pada hari pertama Ramadan kali ini pun kita dapat lihat suasana di lebuh-lebuh raya dan jalan-jalan raya sesak teruk sebab orang ramai pulang ke kampung.

“Masing-masing mengambil kesempatan pulang sambut puasa pertama bersama keluarga di kampung setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan Jelajah Semarak Ramadan di Masjid Al-Muttaqin di Kampung Mengkarak, Bera, Pahang hari ini, lapor Utusan.

Dalam program itu, seramai 4,800 orang dari seluruh kawasan Parlimen Bera menerima sumbangan wang tunai.

Ismail Sabri berkata, pada tahun ini Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri di Seri Perdana tidak akan diadakan pada hari pertama Aidilfitri seperti mana sebelum ini.

“Ini kerana, kita hendak beri peluang kepada orang ramai beraya dengan keluarga dahulu pada hari raya pertama.

“Setelah beraya di kampung, Ahad iaitu pada 8 Mei baru kita buat rumah terbuka di Seri Perdana,” katanya.

Sejak pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal 2020, sudah dua kali perayaan Aidilfitri disambut dalam norma baharu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Orang ramai bukan sahaja tidak dibenarkan pulang berhari raya di kampung halaman, malahan mereka juga tidak dibenar mengadakan majlis kunjung mengunjung dan solat Aidilfitri secara berjemaah di masjid dan surau.

Langkah itu diambil bagi mengawal penularan wabak tersebut yang kini seduah melibatkan lebih 4 juta kes di negara ini dan hampir 30,000 yang meninggal dunia.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun diberikan kebebasan menyambut Aidilfitri, namun orang ramai diingatkan supaya mengamalkan kawalan kendiri.

“Walaupun bermula 1 April lalu, kawalan kendiri tidak diwajibkan tetapi pelitup muka masih diwajibkan. Amalkan kawalan kendiri untuk menjaga keselamatan diri dan juga keluarga,” katanya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan