32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Lepasan Al-Azhar di Malaysia laksana tugas ulama – Ismail Sabri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LEPASAN Al-Azhar di negara ini telah membentuk suatu jaringan dan hubungan yang berterusan antara universiti dan alumninya sekaligus membawa risalah Al-Azhar “Ummatan Wasata” atau “Wasatiyyah” dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak dahulu lagi, para pelajar Melayu berhijrah ke Mesir khususnya Al-Azhar untuk menuntut ilmu.

Malah menurut rekod, beliau menyatakan orang Melayu pertama yang pernah menuntut di Al-Azhar ialah Syeikh Wan Ahmad Wan Muhammad Zain AlFathani iaitu seorang ulama Melayu yang terkenal di Nusantara dan Mekah pada awal 1870-an.

“Sejak itu, kedatangan pelajar Melayu ke universiti ini berterusan sehinggalah ke hari ini. Saya difahamkan kirakira 7,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Al Azhar Al-Syarif, sekali gus menjadikannya bilangan pelajar antarabangsa yang paling ramai.

“Justeru, penghargaan patut diberikan kepada Al-Azhar AlSyarif terutamanya Fadhilah Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al- Azhar, Prof. Dr Ahmad Muhammad Al-Tayyeb kerana sumbangan penting mereka dalam mendidik pelajar Malaysia,” katanya sempena Hari Sedunia Al-Azhar Asy-Syarif hari ini.

Sambutan bersempena ulang tahun ke 1,082 tertubuhnya Universiti Al-Azhar, Mesir itu disambut pada setiap 7 Ramadan.

Ujar Perdana Menteri lagi, peranan lepasan Al-Azhar dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama telah memberi faedah kepada agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada Kerajaan Malaysia bagi kepentingan agama, negara dan ummah.

Menurutnya, Ulama Al-Azhar terkenal kerana memiliki pelbagai ilmu, namun sifat atau pendirian yang dipegang mereka tetap sederhana dan moderat.

“Mereka menjadi tumpuan dan rujukan dalam bidang ilmu agama dan diiktiraf sebagai bertaraf ‘alami dan muktabar.

“Al-Azhar Asy-Syarif juga menjadi sebuah institusi agama yang berjaya melahirkan ribuan alim ulama, dengan membawa pemikiran Wasatiyyah Islam dalam menangani pemikiran ekstremisme dan fanatisme di seluruh dunia,” katanya.

Perdana Menteri turut berdoa semoga Allah S.W.T memelihara Al-Azhar Asy-Syarif dan para pendukung manhajnya.

Menurut beliau, konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar Asy-Syarif telah terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.

Advertisements

“Konsep ini selari dengan seruan Al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

Malah menurut beliau, amalan kesederhanaan itu juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Sesungguhnya, pengaruh Al-Azhar dalam sejarah peradaban manusia memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuan pada hari ini.

“Kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia, adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.

Menurut beliau, Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.

“Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafirkan yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat pembangunan ummah.

“Kecemerlangan Al-Azhar termasuk para guru yang hebat ilmunya, kurikulum pendidikan yang bersepadu dan manhaj Wasatiyyah, sewajarnya dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia dalam membina sebuah generasi berilmu yang bukan hanya cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan majlis sambutan Hari Al-Azhar Sedunia berkenaan amat besar ertinya kepada umat Islam di Malaysia yang banyak terhutang budi kerana sumbangan pendidikan dan pemikiran Islam universiti tersohor ini.

“Pastinya, sambutan ini juga mengukuhkan lagi hubungan peringkat Kerajaan antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan.

“Al-Azhar adalah sebuah institusi Islam yang terulung dan tertua di dunia serta mempunyai barisan para ulamanya yang muktabar dan bertaraf dunia.

Menurut beliau, kealiman dan kesepaduan ilmu para ulama Al-Azhar telah menarik para penuntut dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk menimba dan mendalami ilmu-ilmu agama. -EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan