34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Tengku Zafrul nafi letak jawatan menteri

Ini susulan ketidakhadirannya di Parlimen ketika pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 (2022)

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan beliau meletak jawatan susulan ketidakhadirannya di Parlimen ketika pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 (2022), seperti dilaporkan sebuah akhbar.

Beliau berkata, ketidakhadirannya hari ini adalah kerana pembentangan RUU itu sudah dirancang untuk dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

“Saya ingin merujuk kepada laporan sebuah akhbar yang bertanya sama ada saya letak jawatan.

“Ini berkaitan dengan pembentangan RUU Perbekalan Tambahan 2021 (2022) oleh Timbalan Menteri Kewangan I di Parlimen.

“Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lalu pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan, atau mungkin (akhbar itu) buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah?

“Mereka boleh saja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media.

“Gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar di Dewan Rakyat bertanya adakah Tengku Zafrul sudah meletakkan jawatan ketika Mohd Shahar bangun untuk mengemukakan RUU Perbekalan Tambahan 2021.

Mengulas isu ketidakhadiran di Parlimen pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) pula, Tengku Zafrul berkata, berlaku kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi tadi.

“Perkara ini sudah dimaklumkan semalam. Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) soalan MQT, hanya menteri saja yang boleh memberikan jawapan dan ini bukan kali pertama seorang menteri diminta membacakan jawapan menteri lain. Banyak yang sudah dilakukan terdahulu.

“Terima kasih Menteri Agama kerana membacakan jawapan saya.

“Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada YB Padang Serai serta YB Tumpat dan YB Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang berlaku,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan