28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ramai sudah vaksin, sekatan besar-besaran tidak perlu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SENARIO terkini menyaksikan ramai rakyat Malaysia sudah menerima vaksin menambah keyakinan kerajaan untuk tidak melaksanakan semula sekatan secara besar-besaran walaupun berhadapan dengan gelombang Omicron.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lebih 97.5 peratus orang dewasa di negara ini telah menerima dua dos vaksin manakala 62 peratus dewasa telah menerima dos penggalak.

Manakala menurut beliau, 90 peratus remaja telah divaksin dan program vaksinasi untuk kanak-kanak juga kini sedang giat dilaksanakan.

“Vaksinasi tidak boleh menghalang seseorang daripada dijangkiti Covid-19, namun ia merupakan langkah keselamatan yang amat penting bagi mengurangkan risiko mengalami gejala lebih teruk dan mengurangkan risiko kematian.

“Mengambil kira data-data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), vaksin berkesan dalam mengurangkan risiko berkenaan,” katanya dalam sidang media secara hibrid hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sejajar dengan keberkesanan vaksin, kerajaan amat menggalakkan rakyat untuk segera mendapatkan dos penggalak terutama golongan berisiko seperti warga emas dan mereka yang mempunyai sakit kronik.

“Penting untuk seramai mungkin rakyat termasuk kanak-kanak divaksin kerana kita tidak akan benar-benar selamat selagi semua orang belum selamat,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat Kuartet hari ini turut meneliti perkembangan terkini penularan Covid-19 terutamanya Omicron.

“Hasil pemantauan rapat terhadap penularan varian ini, kita dapat melihat decoupling trend iaitu buat masa ini bilangan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian akibat Covid-19 ialah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu walaupun kes lebih tinggi ketika ini.

“KKM akan terus memantau decoupling trend ini untuk dua minggu mendatang untuk melihat sama ada ia berkekalan atau berubah untuk diambil kira dalam melaksanakan kelonggaran-kelonggaran tambahan pada masa akan datang.

Menurut beliau, dalam pada itu, kadar penggunaan katil di ICU dan alat bantuan pernafasan masih mencukupi.

“Diakui kadar penggunaannya sedikit meningkat, namun seperti dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ia disebabkan sebahagian pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 dinasihatkan untuk menjalani isolasi di hospital bagi mendapatkan pemantauan lebih rapi,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan