30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Liputan jalur lebar masih jadi cabaran luar bandar – Muhyiddin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LIPUTAN jalur lebar masih menjadi cabaran yang sukar bagi masyarakat luar bandar di negara ini disebabkan pelbagai faktor termasuk kos penggunaan yang tinggi berikutan lokasi yang jauh serta liputan yang lemah.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, faktor lain yang menyumbang kepada cabaran berkenaan ialah pilihan sambungan jalur lebar yang terhad dan kepadatan penduduk yang kecil.

Menurutnya, sesuatu yang menyedihkannya apabila mendengar cerita kanak-kanak luar bandar terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik untuk keperluan pembelajaran mereka.

“Ada juga pelajar universiti di pendalaman Sabah membina pelantar kayu di atas pokok untuk mendapatkan jaringan internet yang lebih baik bagi persediaan menghadapi peperiksaan.

“Ini menggambarkan terdapat jurang yang besar terhadap akses jalur lebar antara bandar dan luar bandar.

“Oleh sebab itu, semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Kerajaan di bawah pimpinan saya untuk mempertingkatkan keupayaan akses kemudahan internet ke seluruh negara tanpa meninggalkan kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Mendayakan Ketersambungan Luar Bandar dan Merapatkan Jurang Digital Dengan TV White Space (TVWS) di Lenga dekat Pagoh, Johor.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, susulan itu, Dasar 4IR Negara telah diperkenalkan yang mana ia merupakan rangka dasar peringkat nasional untuk menyelaras tindak balas dasar kerajaan dalam memanfaatkan potensi sosioekonomi dan menguruskan risiko yang wujud daripada 4IR.

Menurut beliau, dasar tersebut mengambil kira keperluan untuk mengoptimum sumber dan penyelarasan pelaksanaan dasar lain yang berkaitan.

“Saya berharap penduduk Lenga beroleh manfaat daripada Dasar 4IR Negara yang saya perkenalkan dengan pemasangan TV White Space di empat lokasi di Lenga pada tahun 2021.

“Pemasangan ini telah terbukti sebagai penyelesaian yang berkesan dalam membolehkan sambungan jalur lebar juga boleh dilakukan di luar bandar,” katanya.

Ujar beliau lagi, berbanding dengan pilihan jalur lebar lain seperti satelit, gentian optik, 3G/4G/5G atau pautan gelombang mikro, TV White Space ialah penyelesaian sambungan jalur lebar kos rendah, mudah dan pantas digunakan.

“Ia adalah suatu penyelesaian praktikal untuk kawasan luar bandar di Malaysia di mana liputan TV adalah tinggi dan menjangkau kebanyakan kawasan luar bandar.

“Pengalaman Pagoh ini adalah bukti bahawa TV White Space berfungsi dengan baik dalam membolehkan sambungan jalur lebar dapat diperolehi di luar bandar.

Menurutnya, beliau amat berharap pada masa akan datang, TV White Space akan membolehkan lebih ramai lagi komuniti luar bandar di seluruh negara dapat menikmati sambungan jalur lebar dengan lebih pantas dan lebih murah.

“TV White Space telah dapat membantu merapatkan jurang digital di antara masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar.

“Dalam era pendigitalan hari ini, akses internet telah menjadi satu keperluan asas dalam kehidupan kita.

Menurut beliau, internet juga telah membantu individu dalam pelbagai aspek terutama untuk aktiviti seharian kita.

“Hal ini menjadi amat penting apabila negara kita dilanda pandemik Covid-19 kerana sekatan pergerakan telah mengubah cara kita hidup, bekerja, belajar, bermain dan berinteraksi dengan orang lain.

“Mereka yang dahulunya bekerja di pejabat, sekarang sudah boleh bekerja dari rumah dan ternyata ianya merupakan satu pilihan kaedah pekerjaan yang terbaik buat masa ini.

Menurut beliau, banyak syarikat swasta telah mempraktikkan cara bekerja dari rumah bagi menjimatkan kos operasi mereka.

“Bagi masyarakat luar bandar, internet berupaya untuk meningkatkan keperluan pembelajaran, penyelidikan dan penyampaian maklumat kepada mereka semua.

Ujar Muhyiddin lagi, ia juga dapat membantu memudahkan urusan perniagaan usahawan di luar bandar dengan menyediakan platform untuk menjangkau pasaran yang lebih luas dan meningkatkan promosi produk serta perkhidmatan mereka.

“Kalau dulu semua produk luar bandar hanya tertumpu di luar bandar sahaja, tapi kini tidak lagi kerana produk ini juga boleh dipasarkan ke seluruh Malaysia malah ke luar negara,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan