34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kurikulum pendidikan berubah, mentaliti masih ditakuk lama

Mitos bahawa seorang guru mesti mengajar dengan suara yang lantang di dalam kelas masih menebal dalam kalangan ibu bapa

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh ANUAR AHMAD

DR ANUAR AHMAD

SEPATUTNYA pencapaian prestasi murid dalam pembelajaran bukan lagi diukur berdasarkan berapa banyak yang murid tahu dan hafal.

Namun, ia perlu diukur berdasarkan keupayaan dan kemahiran bagaimana murid mencari, mengenal pasti, menganalisis, menggunakan dan membentangkan maklumat yang dicari untuk menyelesaikan sesuatu tema/masalah yang diberikan olah guru.

Sepatutnya, tugas guru dalam mendidik bukan lagi ‘menyumbat’ maklumat sebanyaknya untuk dihafal oleh murid-murid.

Sebaliknya, tugas guru ialah memudah cara pembelajaran murid dengan menyediakan perancangan pembelajaran yang menekankan rasa ingin tahu dan membimbing murid mencari maklumat yang diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Itulah yang sepatutnya. Guru adalah sebagai perancang dan fasilitator pembelajaran di dalam bilik darjah, tetapi ini semua hampir mustahil dilakukan oleh guru. Mengapa hampir mustahil?

Tanpa autonomi diberikan kepada guru sebagai perancang, fasilitator dan penilai pembelajaran murid, memang sukar untuk guru melaksanakan pembelajaran yang berkualiti dan berkesan.

Mereka terikat dengan buku teks, skema yang rigid dan berbagai pelaporan seperti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Walaupun tiada lagi peperiksaan seperti Ujian Pencapain Sekolah Rendah (UPSR), sistem penilaian PBD yang rigid tetap mengekang keupayaan guru. Untuk lebih selamat, guru terus mengajar secara Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

Walaupun peranan guru sebagai fasilitator pembelajaran memang telah dinyatakan secara jelas sejak dimulakan KBSR (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah – KBSM (sejak 1989) dan diperkukuhkan lagi di dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Malangnya peranan guru sebagai fasilititor ini gagal dilaksanakan akibat sistem pendidikan kekal mementingkan ‘pertandingan’ gred dan markah peperiksaan.

Jadi untuk selamat, guru terus mengajar secara KBSR untuk memuaskan hati pemimpin pendidikan yang begitu taksub dengan ‘pertandingan gred/ranking sekolah’.

Ada ibu bapa yang menganggap guru kena mengajar (duduk depan kelas bercakap selama satu waktu berterusan menggunakan bahan yang ada dalam buku teks).

Sebab itu ada ibu bapa yang berkata ‘guru-guru tak mengajar’ bila ada guru tidak lagi bercakap kuat di depan sepanjang waktu dalam kelas, sebaliknya banyak masa digunakan untuk merancang dan memudahcara pembelajaran murid-murid.

Guru hanya dikatakan mengajar bila guru banyak bercakap depan kelas. Mitos ini kuat. Jadi untuk selamat, guru terus mengajar secara KBSR.

Sekarang UPSR telah dimansuhkan. Sepatutnya amalan guru sebagai fasilititor boleh dilaksanakan dengan baik.

Tetapi amalan guru sebagai fasilititor masih tidak dapat dilaksanakan kerana sukatan kurikulum sekolah rendah KSSR kekal dalam acuan dan bentuk kurikulum lama (KBSR) yang hanya sekadar dipertingkatkan.

Asas kurikulum masih sama. Guru mesti menghabiskan sukatan pelajaran. Jadi untuk selamat, guru terus mengajar secara KBSR.

Sepatutnya apabila UPSR telah dimansuhkan, kurikulum KSSR juga mesti dirombak supaya mula berteraskan aktiviti pembelajaran dan bukan lagi berfokus pada pertandingan gred atau pertandingan tahap penguasaan PBD.

Sebab itu KSSR atau KBSR sebenarnya tidak banyak bezanya. Kita masih dapat melihat bilangan mata pelajaran yang banyak dan silibus KSSR yg padat.

Kita juga masih melihat pertandingan sebagai amalan yang dikekalkan. Berhentilah daripada meneruskan amalan seperti ini.

Jika diteruskan juga, KSSR yang ada sekarang sebenarnya tidak akan menyokong kepada tujuan pemansuhan UPSR.

Malah akan menghalang pelaksanaan PBD yang benar-benar berkesan. Kita akan terus ulang kesilapan yang sama berulang kali.

  • Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sosiologi Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Artikel ini dipetik daripada Facebook beliau.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan