30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Lawatan pertama PM ke Qatar capai kejayaan besar

Berjaya meningkatkan pelaburan dan memperkukuh hubungan dagangan dua hala dalam pelbagai bidang

Mesti Baca

LAWATAN rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar terbukti membuahkan hasil untuk negara menerusi peningkatan pelaburan, pengukuhan hubungan perdagangan dua hala serta potensi kerjasama dalam pelbagai sektor seperti industri halal, perbankan Islam dan tenaga boleh diperbaharui.

Malah, Doha dan Putrajaya turut mencatat peningkatan signifikan dalam nilai dagangan antara kedua-dua negara walaupun dalam persekitaran dunia yang masih bergelut dengan ancaman pandemik COVID-19.

Menurut Perdana Menteri, nilai dagangan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini turut mencatat peningkatan sebanyak 30.9 peratus kepada RM610 juta berbanding RM470 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

“Saya juga berterima kasih kerana Qatar memilih Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara, khususnya dalam sektor hartanah dan perkhidmatan.

“Sehingga kini, nilai pelaburan Qatar di Malaysia melebihi RM13.49 bilion (US$3.2 billion),” katanya pada sidang media bersama media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Qatar di Doha, malam tadi.

Mengulas selanjutnya, Ismail Sabri yang tiba di Doha pada Sabtu berkata dalam pertemuannya dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sejurus majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan pagi semalam, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi menentukan sasaran pelaburan yang ingin dicapai dalam masa dua tahun.

“Mengambil kira pembukaan sempadan kedua-dua negara dan fasa peralihan ke endemik, saya percaya Malaysia dan Qatar perlu mengambil peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, khususnya industri halal, makanan, perbankan Islam, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas,” katanya.

Perdana Menteri berkata lawatan beliau ke Ladang Lembu dan Kilang Pengeluaran Tenusu Baladna semalam, juga telah membolehkan memorandum kerjasama yang ditandatangani pada 2019 bagi Baladna menjadi rakan kongsi FGV Holdings Bhd (FGV) dan Felcra Bhd dalam projek usahasama ladang tenusu berskala besar di Malaysia, dipersetujui untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun ini.

“Kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan Felcra Bhd melibatkan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Chuping, Perlis.

Advertisements

“Baladna juga bersetuju untuk menambah pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (US$500 juta) lagi bagi pembangunan projek tenusi di Pahang.

“Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri tenusu tempatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata dalam pertemuan dengan Sheikh Tamim, Malaysia turut mengetengahkan beberapa cadangan untuk penerokaan peluang-peluang pelaburan di Qatar kepada syarikat-syarikat Malaysia.

Antaranya, North Field Expansion Project yang meliputi tiga fasa.

“Saya telah mencadangkan agar Petronas diberi peluang untuk terlibat dalam projek ini. Alhamdulillah, cadangan saya disambut baik oleh Amir Qatar,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, dua cadangan lain adalah supaya Malaysia dijadikan hab penerbangan Qatar Airways untuk ke negara-negara ASEAN dan supaya Qatar mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia sebagai alternatif kepada minyak bunga matahari.

Pada sidang media sama, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan atas komitmen Qatar menjadi tuan rumah bagi Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) ke-14 pada tahun depan.

“WIEF berpotensi membantu komuniti perniagaan terutamanya di negara-negara Islam yang telah terkesan oleh pandemik COVID-19,” kata beliau.

⁃ BERNAMA

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan