30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malaysia dan Qatar setuju saling iktiraf sijil vaksinasi – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA dan Qatar secara rasmi bersetuju untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 sesama kedua-dua negara dalam usaha pemulihan pascapandemik virus itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kedua-dua negara juga bersetuju mengintegrasikan aplikasi MySejahtera (Malaysia) dan Ehteraz (Qatar).

“Saya akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mengambil tindakan susulan berhubung dengan pengiktirafan sijil vaksinasi dan integrasi aplikasi MySejahtera dan Ehteraz Qatar,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang akhbar dengan media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Qatar, hari ini.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani selepas majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan, pagi tadi.

Ismail Sabri berkata, beliau turut berterima kasih kepada Qatar yang telah memberikan kemudahan vaksinasi percuma kepada lebih 4,500 rakyat Malaysia yang bermastautin di Qatar, sebagaimana vaksinasi percuma yang diberikan kepada rakyat Qatar di Malaysia.

Katanya, mekanisme kerjasama dua hala ini pastinya memudahkan perjalanan pengembara antara kedua-dua negara.

“Bermula 1 April apabila pintu sempadan negara dibuka, Malaysia pastinya mengalu-alukan pelancong dari Qatar,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau dan Amir Qatar telah turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu hubungan Malaysia dan Qatar yang terjalin selama 48 tahun sejak 1974.

“Dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kami bersetuju untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara Malaysia dan Qatar.

Di kesempatan ini, saya telah mengundang Sheikh Tamim untuk mengadakan lawatan ke Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri tiba di Doha pada Sabtu. Ini adalah lawatan julung kali Ismail Sabri ke Qatar selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos tahun lalu.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan