“SEPATUTNYA hari ini (semalam) adalah hari kelahirannya tetapi kami tidak sempat meraikan bersama-sama kerana dia pergi lebih awal,” kata Sadariah Mohd. Hassan, 48, ibu kepasa pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Saiful Ezzuddin Mustafa yang mati lemas di Sungai Limau di sini kelmarin.
Perasaan hiba itu tidak dapat diungkapkan bagi seluruh ahli keluarga, apabila Muhammad Saiful tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya ke-14 pada semalam.
Beliu berkata, kebiasaannya anak bongsu daripada empat beradik itu menyambut hari lahirnya bersama rakan-rakannya di AMD di Gambang, Pahang.
Katanya, kakak Muhammad Saiful Ezzuddin iaitu Nor Aina Shafina, 18, dan Nur Iliana Safina, 14, pula menguruskan penghantaran hadiah kepada adik mereka itu.
“Walaupun sedih kehilangan anak bongsu kesayangan, namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Temu, Batu 48, lapor Kosmo!.
Sadariah memberitahu, anak lelakinya itu pulang ke kampung ketika cuti semester pada 19 Mac lalu dan dijangka pulang ke AMD pada Ahad ini.
“Saya tidak menyangka kepulangannya pada kali ini adalah yang terakhir apabila ditemui lemas ketika mandi di sungai bersama rakan-rakannya,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurutnya, anaknya yang pendiam dan ringan tulang tidak menunjukkan perubahan ketara sejak pulang ke rumah minggu lalu.
Menurutnya, arwah menjadi harapan keluarga dalam sukan bola sepak.
Tambahnya, jenazah anaknya masih berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Sungai Durian di sini.
Media sebelum ini melaporkan, mayat Muhammad Saiful Ezzuddin dijumpai di dalam paip penyedut pasir sungai kira-kira pukul 5.46 petang kelmarin.
Mangsa dilaporkan lemas selepas mandi di Sungai Ketil berhampiran Kampung Teluk Sungai Durian di sini bersama beberapa rakannya pada pukul 1 tengah hari kelmarin.