29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bahasa Melayu: KPT tubuh jawatankuasa antara IPT ASEAN

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) bercadang menubuhkan jawatankuasa induk pengembangan bahasa Melayu dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) di ASEAN dalam usaha mengembangkan penggunaan bahasa Melayu di rantau ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pada masa kini pihaknya telah mengenal pasti 19 universiti di Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina yang berpotensi bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, jawatankuasa induk tersebut akan merancang pelbagai program kerjasama antaranya program terjemahan dan adaptasi kara-karya ilmu.

“Dalam hal ini, KPT telah melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Institusi itu akan berperanan sebagai sekretariat bagi memulakan kerjasama strategik itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini berkata, ketika ini terdapat kira-kira 300 juta orang penutur bahasa Melayu di negara-negara induk bahasa Melayu dan di negara-negara ASEAN lain yang mempunyai komuniti Melayu.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercadang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi ASEAN memandangkan rantau ini mempunyai penutur bahasa Melayu terbanyak.

Bercakap dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Thailand minggu lalu, beliau bagaimanapun akan berbincang dengan rakan-rakan negara ASEAN lain bagi merealisasikannya.

Selain Malaysia, negara ASEAN lain yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama atau kedua ialah Indonesia, Brunei dan Singapura selain sebahagian daripada penduduk di Thailand, Filipina dan Kemboja.

Dalam lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand akhir bulan lalu, beliau menggunakan bahasa Melayu dalam perbincangan serta sidang media bersama rakan-rakan sejawatannya dari kedua-dua negara tersebut. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan