34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Akta antilompat parti, persempadanan semula jika BN menang

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) memasukkan cadangan penggubalan antilompat parti di dalam manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia merupakan salah satu inisiatif parti itu membawa reformasi politik bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri Johor.

Menurut beliau, BN juga akan melaksanakan persempadanan semula bagi kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai sekiranya mendapat mandat dua pertiga daripada pengundi.

“Persempadanan semula ini secara langsung dapat menyuburkan dan meningkatkan keberkesanan demokrasi di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan manifesto BN sempena PRN Johor di Johor Bahru yang turut disiarkan menerusi Facebook parti itu hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Penyelaras BN bagi PRN Johor.

Manifesto bertajuk ‘Ikhtiar BN Johor Untuk Kestabilan Masa Depan’ menumpukan kepada lima teras utama iaitu kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, orang muda Johor, pentadbiran berintegriti dan reformasi politik.

Hasni berkata, di bawah reformasi politik itu juga, BN akan meneruskan peruntukan tahunan sebanyak RM200,000 untuk ADUN-ADUN kerajaan dan pembangkang dengan sama rata.

Selain itu, jika berjaya membentuk kerajaan, BN juga akan mewajibkan setiap ADUN untuk mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini bagi memastikan integriti dan kebertanggungjawabab jentera kerajaan dapat dibudayakan,” kata beliau yang juga penyandang Menteri Besar Johor.

Sementara itu dalam sidang medianya, Hasni berkata, reformasi politik itu bagi memperkukuh sistem semak dan imbang dalam sesesebuah kerajaan demokrasi.

“Tak guna ada pembangkang yang Mr Yes Man dan hanya bersetuju saja dengan kerajaan.

“Pembangkang tetap pembangkang, wakil kerajaan terus merangka, program sepatutnya dilakukan. Di pihak pembangkang juga sewajarnya jadi check and balance, sama ada rundingan menyentuh dasar, ini adalah antara pendekatan yang saya kata tadi, ikhtiar oleh Barisan Nasional,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, Johor perlu satu agenda yang pantas, memandangkan ia sudah kehilangan status sebagai peneraju ekonomi negara sejak 2018.

“Kita hilang kedaulatan bila Batu Puteh diserah kepada Singapura, kita tak dapat nak buka sempadan kerana atau tak dapat teruskan ekonomi kerana bekas Perdana Menteri tak mahu jumpa Perdana Menteri Singapura, kita lihat projek HSR dibatalkan.

“Banyak perkara merencatkan perancangan sepatutnya bawa negeri Johor kepada satu keadaan dan kedudukan yang dapat berikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Maka dua tahun saya di dalam kerajaan, apa kita buat adalah untuk menyegerakan proses sebaik saja mandat diberi rakyat, kepada Barisan Nasional,” katanya lagi. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan